Peningkatan pengeluaran buah tandan segar, Maybank IB yakin untung teras Genting Plantations berkembang 6% pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan pengeluaran buah tandan segar, Maybank IB yakin untung teras Genting Plantations berkembang 6% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Keuntungan teras Genting Plantations Bhd diyakini berkembang sebanyak 6% pada FY25 didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi, kos pengeluaran rendah serta sumbangan sulung daripada Jakarta Premium Outlet dan pendapatan pembangunan hartanah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan BTS sebanyak 5% dan kos pengeluaran dijangka lebih rendah antara 4% hingga 8% kepada antara RM2,400 dan RM2,500 bagi setiap tan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Jakarta Premium Outlet kini berada di landasan tepat untuk pembukaan pada Mac 2025.

 

"Kami secara konservatif mengaitkan sumbangan keuntungan RM10 juta daripada Jakarta Premium Outlet pada FY25," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi pada RM323.06 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM253.49 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan bagaimanapun menguncup kepada RM2.94 bilion daripada RM2.97 bilion pada FY23, disebabkan penurunan jumlah jualan dalam segmen hiliran.

 

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24), untung bersih kumpulan meningkat kepada RM112.05 juta berbanding RM63.19 juta pada setahun sebelumnya manakala perolehan hasil meningkat kepada RM856.35 juta daripada RM800.46 juta sebelumnya.

 

Penuaian BTS bagi tahun kewangan 2024 juga susut sedikit bagi tahun ke tahun, berikutan keadaan cuaca buruk serta aliran pemangkasan yang rendah.

 

Pada masa sama, program penanaman semula di estet Malaysia turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran berkenaan.

 

Maybank IB berkata, bagi segmen hartanah, EBITDA FY24 turun 4% kepada RM31 juta disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelupusan hartanah pelaburan pada FY23.

 

Katanya, jualan hartanah meningkat 22% pada FY24 kepada RM171 juta. Ini menaikkan jualan tidak dibilkan kepada RM133 juta memberikan keterlihatan pendapatan yang baik untuk FY25.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.99 sesaham. - DagangNews.com