KUALA LUMPUR 6 April — Peningkatan kadar elektrik di Singapura awal tahun ini dilihat menjadi pemangkin utama kepada peningkatan hasil YTL Power International Berhad, menurut analisis TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi ini menarik perhatian pelabur ke atas potensi pertumbuhan pendapatan menerusi anak syarikat penjanaan tenaga kumpulan di negara tersebut, Power Seraya.
Jelasnya, subsidiari itu berada pada kedudukan strategik apabila kadar elektrik semasa di republik berkenaan meningkat 24% sejak Januari 2026, manakala kadar kontrak runcit pula naik sehingga 11%,
“Kami percaya kontrak gas terkini sudah pun diperbaharui sebelum lonjakan harga semasa, sekali gus dapat menyokong peningkatan margin kepada YTL Power sendiri,” kata TA Securities dalam nota.
Tambahnya, sekitar 10% jumlah jualan Seraya terdedah kepada pasaran semasa, manakala 75% lagi melalui kontrak runcit, yang membolehkan kumpulan memanfaatkan kenaikan harga secara menyeluruh.
Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, isu risiko kekangan bekalan bahan api di Singapura dijangka meningkatkan kuasa penetapan harga dalam kalangan pembekal elektrik di negara berkenaan.
Dalam perkembangan lain, YTL Power ujar TA Securities, mengesahkan pemerolehan lanjutan pajakan tanah bagi Power Seraya sehingga 2055, memastikan kesinambungan operasinya di republik tersebut.

"Kami turut melihat potensi pemangkin struktur susulan konflik di rantau Timur Tengah sejak 28 Februari 2026 yang boleh mengubah aliran pelaburan pusat data (DC) global sendiri," katanya lagi.
Menurut firma itu, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat berpotensi mendorong syarikat teknologi dunia mengalihkan pelaburan ke rantau lebih stabil seperti Asia Tenggara, termasuk di Malaysia.
YTL Power juga ujar TA Securities, dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat segmen DC apabila kapasiti sedia ada mencecah 300MW, menyumbang RM1.4 bilion kepada hasil kasar tahunan.
Kumpulan perkhidmatan rumusan utiliti itu turut menyasarkan peningkatan kapasiti kepada 1.3GW menjelang 2030, dipacu permintaan tinggi daripada syarikat teknologi global kepada bekalan stabil.
"Bagi menyokong usaha pelan pengembangan agresif kumpulan tersebut, kami menjangkakan kemungkinan penyenaraian anak syarikat DC dalam masa terdekat, selain pembiayaan melalui cara sukuk," katanya.
Susulan prospek yang lebih kukuh, TA Securities menaikkan unjuran keuntungan bersih YTL Power bagi tiga tahun kewangan bermula dari 2026 hingga 2028 antara kira-kira 3% hingga sebanyak 28%.
Ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM4.21 daripada RM3.21 sebelum ini, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP). - DagangNews.com








