Penghasilan biodiesel B12 dijangka tingkatkan penggunaan minyak sawit kepada 900,000 tan - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penghasilan biodiesel B12 dijangka tingkatkan penggunaan minyak sawit kepada 900,000 tan - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Langkah kerajaan untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel dijangka memberi kesan positif kepada harga minyak sawit mentah (MSM), di samping menyediakan potensi peningkatan kepada syarikat perladangan bersepadu yang mempunyai pendedahan dalam segmen tersebut.

 

CIMB Securities Sdn Bhd berkata, pelaksanaan peningkatan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B12 dijangka meningkatkan penggunaan kepada sekitar 900,000 tan, iaitu tambahan kira-kira 150,000 tan atau bersamaan 0.7% daripada pengeluaran minyak sawit negara bagi 2025.

 

"Antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat termasuk Kuala Lumpur Kepong Bhd, SD Guthrie Bhd dan Genting Plantations Bhd," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan kesan jangka pendek adalah terhad memandangkan pelaksanaan awal hanya melibatkan peningkatan permintaan secara berperingkat.

 

Malaysia merancang untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan pelaksanaan awal B12 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan tenaga dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peralihan tersebut tidak melibatkan kos tambahan kerana ia memanfaatkan infrastruktur campuran sedia ada di bawah program B10.

 

Langkah itu menyusuli perbincangan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memperkukuh bekalan diesel domestik.

 

Menurut CIMB Securities, program B10 ketika ini menggunakan kira-kira 750,000 tan minyak sawit setahun pada pelaksanaan penuh.

 

Pelaksanaan B12 dijangka meningkatkan penggunaan kepada sekitar 900,000 tan, iaitu tambahan kira-kira 150,000 tan atau bersamaan 0.7% daripada pengeluaran minyak sawit negara bagi 2025.

 

“Kesan akan menjadi lebih ketara pada kadar campuran lebih tinggi, dengan peralihan ke arah B15 hingga B30 berpotensi meningkatkan permintaan antara 0.38 juta hingga 1.5 juta tan, atau 1.8% hingga 7.4% daripada bekalan nasional,” katanya.

 

Pada 2025, Malaysia menghasilkan sebanyak 975,207 tan biodiesel dan mengeksport 57,149 tan, menjadikan penggunaan domestik sekitar 918,058 tan.

 

Dalam masa sama, kapasiti biodiesel terpasang negara dianggarkan sebanyak 2.36 juta tan setahun, iaitu lebih dua kali ganda daripada pengeluaran semasa, menunjukkan terdapat ruang mencukupi untuk meningkatkan output sejajar dengan kadar adunan yang lebih tinggi.

 

Kerajaan turut merangka pelan hala tuju biofuel yang merangkumi peningkatan kemudahan depot secara berperingkat bagi menyokong kadar campuran lebih tinggi sehingga B20 dan B30, selain memperkenalkan mandat B30 untuk sektor komersial serta pengangkutan awam.

 

Perubahan dasar itu hadir ketika harga diesel meningkat ketara susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

 

Harga diesel di Semenanjung Malaysia dilaporkan melonjak daripada RM2.99 seliter pada Februari 2026 kepada RM6.72 seliter setakat 9 April, sekali gus meningkatkan keperluan untuk mempercepatkan penggunaan biodiesel. - DagangNews.com