Penggunaan tenaga lebih bijak, manfaat lebih jelas: Skim Masa Penggunaan (ToU) terus pacu penjimatan pelanggan dalam prestasi TNB Q3 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggunaan tenaga lebih bijak, manfaat lebih jelas: Skim Masa Penggunaan (ToU) terus pacu penjimatan pelanggan dalam prestasi TNB Q3 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan negara dengan memberi penekanan kepada usaha pemerkasaan pelanggan, sokongan komuniti dan kelestarian bekalan tenaga untuk jangka panjang.

 

Tumpuan strategik terhadap infrastruktur berteraskan pelanggan menjadi tonggak penting transformasi TNB, mencerminkan komitmen lebih meluas terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan kebolehpercayaan operasi.

 

Pertambahan Pengguna ToU, TNB Perkasa Penyelesaian Tenaga Berfokuskan Pelanggan

Dalam usaha menambah baik pengalaman pelanggan dan mempertingkat pemerkasaan pengguna, TNB dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperkenalkan ciri produk pilihan ToU untuk pengguna domestik sebagai langkah utama membantu isi rumah mengurus serta mengoptimumkan bil elektrik bulanan.

 

Sejak diperkenalkan kepada pelanggan domestik pada 1 Julai, ToU muncul sebagai pilihan penting bagi rakyat Malaysia yang ingin mengawal penggunaan elektrik dengan lebih efektif. TNB merekodkan peningkatan ketara dalam pendaftaran baharu serta pertambahan pertanyaan merentas pelbagai saluran perkhidmatan pelanggan.

 

Setakat ini, lebih 70,000 pelanggan telah berhijrah kepada ToU, mencerminkan peningkatan pemahaman awam mengenai bagaimana ToU dapat digunakan sebagai alat praktikal untuk mengurus penggunaan tenaga secara berkesan.

 

Seiring dengan pertambahan minat terhadap ToU, TNB terus memperluas dan mempercepat pelaksanaan pemasangan meter pintar di seluruh negara bagi membolehkan lebih banyak isi rumah memperoleh maklumat penggunaan yang tepat.

 

Setakat ini, sebanyak 5,081,063 meter pintar telah dipasang, menunjukkan tahap penerimaan yang semakin kukuh terhadap teknologi tersebut.



Rebat AFA Terus Memberi Penjimatan Ketara kepada Isi Rumah

Melengkapi usaha ini, rebat berterusan melalui Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) terus menyokong penjimatan isi rumah.

 

Sejak diperkenalkan, pelanggan telah menikmati penjimatan melebihi RM250 juta secara kolektif dalam bil elektrik mereka. Mekanisme AFA membolehkan pemulihan kos secara serta-merta dan meningkatkan aliran tunai TNB.

 

Kedudukan Platform Tenaga TNB Diperkukuh dalam Segmen Digital dan EV

Kebolehcapaian digital kekal sebagai teras strategi TNB, dengan aplikasi myTNB kini digunakan oleh 7.1 juta pelanggan, bersamaan 70% daripada keseluruhan pelanggan.

 

Selari dengan pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV) kerajaan, peluasan fasiliti pengecasan di seluruh negara terus dipertingkat dengan 5,109 titik pengecas dipasang sehingga September 2025.

 

Sejak awal tahun ini, rangkaian pengecasan EV telah membekalkan lebih 10 GWh elektrik dan menjana hasil sekitar RM5.1 juta, mencerminkan pertumbuhan penggunaan serta peningkatan permintaan terhadap infrastruktur EV yang lebih mantap.

 

“Keutamaan TNB sentiasa untuk memastikan pelanggan berasa disokong, dimaklumkan dan diperkasa dalam membuat keputusan. Kami akan terus memperkukuh setiap titik sentuhan — digital, operasi dan perkhidmatan — dengan matlamat tunggal untuk memberikan nilai sebenar serta penjimatan bermakna kepada rakyat,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

 

“Komitmen kami jelas dan tegas: kami akan terus mengambil setiap langkah yang perlu, secara berdisiplin dan bertanggungjawab, bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang serta menambah baik pengalaman tenaga rakyat Malaysia.”


 

TNB

 


Menyokong Pelanggan Melalui Disiplin Operasi Kukuh

Bagi tempoh 9 bulan tahun kewangam 2025, TNB mencatat pendapatan sebanyak RM3.2 bilion, sejajar dengan jangkaan pasaran bagi prestasi yang stabil sepanjang tiga suku pertama.

 

Prestasi berdaya tahan ini didorong oleh permintaan elektrik yang kukuh, peningkatan jualan merentas segmen pelanggan utama serta kos kewangan bersih yang lebih rendah.

 

Sehingga September 2025, pertumbuhan permintaan terus menunjukkan trend menaik, dengan jumlah jualan elektrik mencecah 99,930 GWh, didorong terutamanya oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor komersial.

 

Pendapatan TNB turut diperkukuh oleh keuntungan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350 juta, hasil pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.471/USD pada Disember 2024 kepada RM4.215/USD pada September 2025. Pergerakan mata wang ini memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan TNB dan mengukuhkan kestabilan pendapatan bagi tempoh tersebut.

 

Di samping itu, TNB terus memperkukuh kebolehpercayaan grid dan pengalaman pelanggan melalui pelaburan bersasar dalam penyelenggaraan, keupayaan tindak balas operasi serta infrastruktur digital.


 

TNB

 

TNB

 


Pada suku ketiga sahaja, syarikat telah melabur sebanyak RM3.1 bilion untuk inisiatif berkaitan kebolehpercayaan grid sebagai sebahagian daripada perbelanjaan modal terkumpul tahun semasa berjumlah RM8.3 bilion.

 

Usaha ini membuahkan hasil dengan penambahbaikan yang boleh diukur, apabila Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 46.65 minit berbanding 47.62 minit sebelum ini. - DagangNews.com