​​​​​​​Penggunaan krim tanpa nasihat doktor, rawatan lewat punca kes ekzema teruk di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Penggunaan krim tanpa nasihat doktor, rawatan lewat punca kes ekzema teruk di Malaysia

Antara simptom ekzema termasuk kemerahan, kegatalan serta kulit kering dan bersisik, yang boleh menjadi lebih teruk tanpa rawatan perubatan yang betul.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Jan 2026 - Kes ekzema di Malaysia yang semakin meningkat kini menunjukkan pesakit mengalami gejala yang lebih serius, terutamanya akibat penggunaan krim yang tidak dikawal selia serta kelewatan mendapatkan rawatan perubatan.

 

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Dr Ng Lim Chui, kanak-kanak merupakan kumpulan yang paling terjejas.

 

Berdasarkan kajian International Study of Asthma and Allergies in Childhood (ISAAC-1 dan ISAAC-3), kadar Atopic Eczema (AE) dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia sepanjang tempoh 12 bulan meningkat daripada 9.5 peratus pada 1994–1995 kepada 12.6 peratus pada 2002–2003, dengan peningkatan purata 0.49 peratus setahun.

 

“Kami melihat peningkatan jumlah pesakit yang telah menggunakan krim steroid yang dibeli di kaunter atau mendapatkan rawatan tradisional selama beberapa minggu atau bulan tanpa panduan perubatan yang betul.

 

"Walaupun produk ini mungkin memberi kelegaan sementara, penggunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti penipisan kulit, kesan regangan (striae), serta kulit menjadi rapuh dan mudah lebam,” kata Dr Ng.

 

Ekzema merupakan penyakit kronik yang menyebabkan kegatalan, ruam kemerahan, kulit kering dan bersisik. Walaupun sering dianggap sekadar ruam biasa, keadaan ini boleh menjejaskan tidur, prestasi pembelajaran, kesejahteraan emosi serta kualiti hidup secara keseluruhan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

 

Dr Ng Lim Chui
                        Dr Ng Lim Chui

 


Kesan Ekzema Terhadap Kualiti Hidup Kanak-kanak

Dr Ng menegaskan pengesanan awal dan rawatan profesional amat penting dalam pengurusan ekzema.

 

Antara tanda-tanda yang tidak wajar diabaikan termasuk kegatalan berpanjangan, kulit kering atau bersisik, ruam di lipatan siku atau lutut, serta ekzema pada pipi bayi.

 

“Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya mendapati tanda jangkitan pada anak seperti kehadiran nanah, kemerahan pada kulit, bengkak atau demam.

 

"Intervensi awal dapat mencegah jangkitan kulit dan penebalan kulit (likenifikasi) daripada menjadi lebih teruk, selain mengurangkan kesan emosi dan psikologi terhadap kanak-kanak serta penjaga,” jelasnya.

 

Salah Faham Punca Rawatan Lewat

Beliau turut memaklumkan salah faham mengenai ekzema masih wujud dalam kalangan masyarakat.

 

Ramai rakyat Malaysia masih percaya penyakit ini berpunca daripada kebersihan diri yang kurang, bersifat berjangkit atau boleh disembuhkan sepenuhnya dengan penggunaan krim biasa.

 

Salah faham ini sering menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan yang sesuai serta mendorong kepada amalan rawatan sendiri yang tidak selamat, termasuk penggunaan produk tidak berdaftar atau rawatan tradisional tanpa pemantauan perubatan.

 

Faktor Persekitaran dan Gaya Hidup

Selain itu, cuaca panas di Malaysia, faktor persekitaran dan gaya hidup turut menyumbang kepada kekerapan serangan ekzema.

 

Proses pembandaran, pendedahan kepada alergen dalaman seperti hama debu, serta penggunaan produk penjagaan diri yang merengsakan kulit dikenal pasti sebagai antara faktor yang meningkatkan beban penyakit ini dalam komuniti.

 

Pilihan Rawatan Semakin Meluas

Di Malaysia, pilihan rawatan ekzema kini semakin berkembang, termasuk fototerapi, terapi sistemik, penggunaan ubat biologik dan perencat JAK bagi kes yang teruk atau sukar dirawat.

 

Namun, pakar menegaskan penjagaan harian dan pencegahan kekal sebagai asas utama pengurusan jangka panjang.

 

Antara langkah penting termasuk penggunaan pelembap kulit secara berterusan, pemilihan sabun mesra kulit, pemakaian pakaian yang membenarkan pengudaraan, mandi air suam dalam tempoh singkat serta memastikan rutin tidur yang mencukupi.

 

Pendidikan Awam Kunci Pencegahan Jangka Panjang

“Pendidikan dan kesedaran awam amat penting. Pengesanan awal, pengurusan yang betul serta rujukan tepat pada masanya kepada pakar dermatologi boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara. Ibu bapa dan pesakit perlu memahami ekzema ialah penyakit kronik yang memerlukan penjagaan berterusan, bukan penyelesaian segera,” katanya.

 

Usaha meningkatkan kesedaran awam dilihat penting bagi mengurangkan komplikasi akibat ekzema.

 

Kempen pendidikan, pengesanan awal serta panduan penggunaan produk topikal yang betul dikenal pasti sebagai langkah utama dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada kesan jangka panjang penyakit ini. - DagangNews.com