KUALA LUMPUR 6 Feb - Penganalisis meramalkan penggabungan Grab Holdings Ltd dan GoTo Group, syarikat induk Gojek berpotensi boleh membawa kepada sinergi tahunan sebanyak AS$209 juta, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Jika penggabungan itu direalisasikan, Maybank IB berkata, ia bakal mengawal antara 80% sehingga 90% pasaran Indonesia, memberikannya status hampir monopoli dalam pasaran penghantaran makanan.
Katanya, di Singapura pula, penggabungan itu mungkin meningkatkan cabaran pengawalseliaan akibat kemunculan persaingan sengit.
"Walau bagaimanapun, dalam ruang pengangkutan, bahagian pasaran di Indonesia akan meningkat kepada 23% dan, oleh itu, kami berpendapat cabaran pengawalseliaan di Indonesia boleh diatasi.
"Di Singapura pula, kami meramalkan Gojek mungkin dikeluarkan sebelum potensi penggabungan kerana ia akan meningkatkan persaingan tinggi dalam pasaran pengangkutan.
"Penggabungan ini boleh muncul dalam dua senario iaitu Grab mengambil alih Gojek dan GoTo mengambil alih pegangan dalam Grab (sama seperti perjanjian Uber/Grab).
"Ataupun Grab dan GoTo menggabungkan perniagaan dengan mengambil kepentingan berkadar dalam gabungan atas permintaan tidak tersenarai," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Disebalik potensi tekanan margin, syarikat yang digabungkan itu berkemungkinan akan mengekalkan harga stabil disebabkan oleh pengawasan kawal selia.
ARTIKEL BERKAITAN: Grab dan GoTo percepat perbincangan penggabungan, sasar meterai perjanjian tahun ini bagi atasi kerugian
"Penggabungan ini mampu menjimat kos daripada kecekapan pemandu yang lebih baik, insentif yang dikurangkan dan kos tetap yang lebih rendah seperti perkhidmatan awan dan pemasaran manakala kecekapan yang lebih baik akan meningkatkan pengalaman pelanggan.
"Pada masa ini, perniagaan atas permintaan Grab mempunyai margin 4.2%, manakala Gojek adalah sekitar 1%.
"Jika mereka bergabung, margin gabungan mereka boleh meningkat kepada 5.5% menjelang FY27, membawa kepada keuntungan tambahan sebanyak AS$209 juta pada FY27.
"Berdasarkan model penilaian, jika penggabungan mengikut nilai perusahaan sasaran kepada gandaan nilai barangan kasar (EV/GMV) sebanyak 0.9x untuk Grab dan 0.6x untuk Gojek, nilai semasa bersih (NPV) boleh meningkat sebanyak 9% untuk Grab dan 5% untuk GoTo.
Jika penggabungan itu berjaya direalisasikan, sasaran harga (TP) Grab boleh mencecah AS$6.78 esaham, dengan GoTo berpotensi meningkatkan peningkatan penilaian sebanyak 5%.
Walaupun dalam senario tanpa urus niaga, kami mengekalkan "beli" ke atas saham Grab dan GoTo.
"Ini kerana kami melihat keadaan makro yang teguh dan persaingan sihat, manakala inisiatif seperti iklan, barangan runcit dan teknologi kewangan dan lain-lain boleh mencipta saluran pertumbuhan baharu," katanya. - DagangNews.com








