KUALA LUMPUR 12 Feb - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berpendapat positif terhadap penggabungan Grab Holdings Ltd dan GoTo Group, syarikat induk Gojek yang boleh membantu mengurangkan kos dengan menurunkan insentif pengguna.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, pelabur masih meragu-ragu tentang penggabungan tersebut mengenai dasar pengawal seliaan, nilai semasa bersih (NPV) yang diunjur cecah AS$2.5 bilion yang tidak menarik dan struktur keseluruhan penggabungan itu.
Sebelum ini, Maybank IB meramalkan penggabungan itu bakal mengawal antara 80% sehingga 90% pasaran Indonesia, memberikannya status hampir monopoli dalam pasaran penghantaran makanan.
Katanya, di Singapura pula, penggabungan itu mungkin meningkatkan cabaran pengawalseliaan akibat kemunculan persaingan sengit.
"Untuk perkhidmatan penghantaran makanan, gabungan Grab-Gojek mungkin menguasai 90% bahagian pasaran di Indonesia, kami tidak fikir ia akan menjadi kebimbangan utama kawal selia kerana perkhidmatan tersebut memenuhi segmen pasaran yang mewah.
"Di Singapura pula, cadangan pengambilalihan Trans Cab oleh Grab baru-baru ini telah dibatalkan kerana bantahan Suruhanjaya Persaingan & Pengguna Singapura.
"Sehubungan itu, kami berpendapat operasi Gojek di Singapura berkemungkinan besar akanditamatkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Penggabungan Grab, GoTo bakal jana sinergi tahunan lebih AS$209 juta disebalik cabaran kawal selia - Maybank IB
Firma penyelidikan itu menjangkakan penggabungan itu akan direalisasikan melalui dua senario iaitu, Grab mengambil alih Gojek dan GoTo mengambil alih pegangan dalam Grab (sama seperti perjanjian Uber/Grab).
Senario kedua adalah, Grab dan GoTo menggabungkan perniagaan dengan mengambil kepentingan berkadar dalam gabungan atas permintaan tidak tersenarai.
Sementara itu, Maybank IB mengekalakan saranan "beli" ke atas saham Grab dan GoTo.
Dalam nota penyelidikan yang sama, Maybank IB berkata sentimen mengenai pusat data ASEAN dilihat positif apabila pasaran menyesuaikan diri dengan peristiwa terkini yang berpotensi melemahkan permintaan.
"Peningkatan pembelanjaan pusat data (DC) dan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat AS membantu mengurangkan kebimbangan permintaan berikutan pelancaran DeepSeek.
"Kami berpendapat kecekapan algoritma DeepSeek boleh mengurangkan kos dan seterusnya mempercepatkan pembangunan aplikasi AI, membawa kepada permintaan inferens yang lebih pantas daripada yang dijangkakan dan diterima pakai oleh syarikat.
"Perkembangan pusat data ASEAN dijangka menyederhana dibantu oleh permintaan bukan AI," katanya. - DagangNews.com








