Pengerusi PAC kecam kebocoran prosiding siasatan penswastaan MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerusi PAC kecam kebocoran prosiding siasatan penswastaan MAHB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak lain dalam panel berkaitan penswastaan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) merupakan pandangan peribadi.

 

Beliau berkata, PAC berhasrat untuk memanggil semula beberapa saksi berhubung perkara tersebut memandangkan masih banyak persoalan yang belum terjawab daripada sesi keterangan sebelum ini.

 

Mas Ermieyati turut mengkritik pendedahan awam terhadap prosiding PAC.

 

"Saya ingin menegaskan, semua dapatan, perbincangan dan dokumen yang dikemukakan semasa prosiding PAC adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sepatutnya didedahkan kepada media oleh mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jawatankuasa tersebut telah mengadakan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam dan proses penswastaan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), dengan sebanyak 16 prosiding telah diadakan setakat ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kelemahan isu tatakelola dalam penjualan, penswastaan MAHB - PAC

 

Ia telah memanggil Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta beberapa saksi utama lain untuk memberi keterangan minggu ini, dengan ahli PAC, Sim Tze Tzin, menyifatkan menteri tersebut sebagai "memberi kerjasama".

 

Sepanjang sesi tersebut, PAC telah bertemu dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Lee Jim Leng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Datuk Nik Amlizan Mahamed.

 

Saksi lain termasuk Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Zain Azhari Mazlan, yang mewakili Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.- DagangNews.com