KUALA LUMPUR 17 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan Malaysia dapat menahan kesan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) walaupun Presidennya, Donald Trump akan memperkenalkan kadar tarif baharu.
Katanya, walaupun Trump memperkenalkan tarif baharu, termasuk cukai 10% yang sudah berkuat kuasa ke atas import China, Malaysia dan negara ASEAN lain boleh mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan, sama seperti trend yang dilihat semasa penggal pertamanya 2017-2021.
Firma penyelidikan itu berkata, semasa penggal pertama Trump, negara-negara ASEAN, khususnya Vietnam menerima manfaat daripada perang perdagangan AS-China, dengan eksport Vietnam ke AS meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15.9%.
“Malaysia juga menyaksikan peningkatan ketara, dengan CAGR sebanyak 4.6% ketika itu,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, peralihan perdagangan yang sama boleh muncul semula, mewujudkan peluang untuk ekonomi Asia yang dipacu eksport dengan pentadbiran Trump 2.0 dan tarif baharunya sebanyak 10% ke atas import China.
"Industri yang berpotensi mendapat manfaat termasuk alat permainan, barangan sukan (dengan 66.5% import AS bergantung kepada China), dan telefon bimbit dan peralatan (57.3%)," katanya.
Dianggarkan, jurang tarif keseluruhan AS-Malaysia sebanyak 2.3% sahaja dengan potensi tarif timbal balik berdasarkan metrik jurang tarif purata yang mudah, menunjukkan tiada ketidakseimbangan yang ketara.
“Buat masa ini, kami mengekalkan pertumbuhan KDNK 2025 kami pada 4.9%, didorong permintaan domestik yang kukuh,” katanya.
HLIB berkata, perang perdagangan AS-China 2018-2020 membawa kepada penurunan ketara dalam eksport China, menekankan peranan keanjalan perdagangan dalam membentuk aliran perdagangan.
"Jika Trump mengenakan tarif global 10% dan keanjalan perdagangan yang lebih rendah sebanyak 0.7 digunakan, Malaysia boleh menyaksikan penurunan sebanyak 0.5% dalam KDNK, dengan kesannya berpotensi meningkat kepada 1.6% dari semasa ke semasa jika keanjalan perdagangan bertambah kukuh,” katanya. - DagangNews.com








