Pengeluaran Johor Plantations diramal pulih pada 2QFY26 disokong harga minyak sawit lebih tinggi, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran Johor Plantations diramal pulih pada 2QFY26 disokong harga minyak sawit lebih tinggi, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MeiJohor Plantations Group Berhad (JPG) diramal mencatat pemulihan pengeluaran pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), dipacu pelbagai faktor positif, kata RHB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, antaranya potensi harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi, selain peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB), dan cuaca yang lebih baik di sekitar Johor sendiri.

 

Perkembangan baik tersebut mendorongnya masih mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat perladangan berkenaan walaupun prestasi bagi suku pertama FY26 berada di bawah jangkaan pasaran.

 

"Kami menetapkan harga sasaran (TP) RM1.90 selepas menyemak unjuran hasil JPG, dengan penilaian semasa masih menarik disokong kenaikan 13% dan hasil dividen 4%," kata RHB Research dalam notanya.

 

Ujarnya, keuntungan teras 1QFY26 susut 35.3% tahun ke tahun (YoY) akibat pengeluaran FFB yang lebih lemah daripada jangkaan, serta peningkatan kos pembajaan serta perbelanjaan faedah lebih tinggi.

 

Walaupun pengeluaran susut akibat cuaca kering pada Januari dan Mac 2026, syarikat itu menjangkakan pemulihan ketara pada 2QFY26 dengan peningkatan pengeluaran 13% hingga 15% dari suku ke suku (QoQ).

 

Dalam tempoh yang sama tambah RHB Research, purata harga jualan (ASP) ke atas produk MSM dicatatkan JPG adalah masih stabil iaitu sekitar RM4,206 setiap satu tan, meskipun turun 3% QoQ dan 14% YoY.

 

Johor Plantations_DagangNews


"Bagaimanapun, kumpulan perladangan berkenaan terus berjaya dalam memperoleh premium kira-kira 2% berbanding harga rujukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," jelas firma penyelidikan itu.

 

Bagi unjuran kedudukan FY26 pula katanya, syarikat tersebut juga sudah mendapatkan premium harga sekitar RM200 hingga RM220 satu tan untuk kira-kira 70% daripada keseluruhan pengeluaran tahunan.

 

RHB Research berkata, kos unit MSM meningkat 6.5% kepada sebanyak RM2,526 bagi satu tan pada 1QFY26 berikutan JPG melaksanakan awal aktiviti pembajaan serta pengeluaran FFB yang didapati rendah.

 

Kumpulan itu turut berdepan peningkatan kos pengangkutan antara 5% hingga 15% YOY, namun pengurusan mengekalkan panduan kenaikan kos unit penuh tahun sekitar 5% disokong langkah kawalan dilaksanakan.

 

"Susulan itu, kami menurunkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 masing-masing 12.2%, 3.7% dan 4.0% selepas diambil kira kos unit, peningkatan pembelian FFB luar serta perbelanjaan faedah," jelasnya.

 

Walaupun begitu, RHB Research percaya premium penilaian wajar diberikan kepada JPG berikutan faktor ESG kukuh, membolehkan syarikat menikmati ASP tinggi selain prospek segmen hiliran. - DagangNews.com