Pengeluaran getah asli Malaysia berjumlah 28,579 tan metrik, susut 0.4% pada Januari 2026 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia berjumlah 28,579 tan metrik, susut 0.4% pada Januari 2026 - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan pada Januari 2026 sebanyak 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Pengeluaran pada bulan tersebut ialah 28,579 tan metrik berbanding 28,684 tan metrik pada Disember 2025. Jika dibandingkan dengan Januari 2025, pengeluaran getah asli turun 5.9 peratus daripada 30,357 tan metrik.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah pada Januari 2026 masih didominasi oleh pekebun kecil dengan sumbangan sebanyak 87.6 peratus, manakala estet menyumbang 12.4 peratus.

 

“Jumlah stok getah asli negara meningkat 9.3 peratus kepada 133,042 tan metrik pada Januari 2026 berbanding 121,686 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

 

“Kilang pemproses getah menyumbang sebahagian besar stok akhir iaitu 80.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (19.3%) dan estet getah (0.1%),” katanya.

 

Dalam sektor eksport, Malaysia menghantar 41,983 tan metrik getah asli pada Januari 2026, meningkat 30.6 peratus berbanding Disember 2025. 

 

t

 

China kekal sebagai destinasi utama dengan 40.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.2%), Jerman (13.6%), Amerika Syarikat (5.6%) dan Brazil (3.6%).

 

Beliau berkata prestasi eksport didorong oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. 

 

“Sarung tangan getah kekal sebagai eksport utama dengan nilai RM1.2 bilion pada Januari 2026, sedikit menurun 8.5 peratus berbanding Disember 2025.

 

“Analisis harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan minima iaitu 0.01 peratus kepada 576.14 sen sekilogram manakala sekerap meningkat 4.5 peratus kepada 618.72 sen sekilogram,” katanya.

 

Laporan Data Harga Komoditi Bank Dunia pula mencatatkan harga getah TSR 20 meningkat 5.9 peratus daripada AS$1.74/kg kepada AS$1.84/kg. 

 

Harga pasaran Singapura/Malaysia meningkat 3.9 peratus daripada AS$2.06/kg kepada AS$2.14/kg.

 

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Januari 2026, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur tetapi secara keseluruhannya stabil disokong oleh bekalan bahan mentah yang terhad akibat cuaca hujan di negara pengeluar utama, kenaikan harga niaga hadapan getah serantau, serta indikator ekonomi positif dari Amerika Syarikat dan China, termasuk sektor automotif China. 

 

Bagaimanapun, kenaikan harga dihadkan oleh ketidaktentuan dasar perdagangan, ketegangan geopolitik, turun naik harga minyak mentah dan pengukuhan ringgit. - DagangNews.com