KUALA LUMPUR 24 Dis - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) United Malacca Bhd diyakini lebih tinggi pada FY25 berikutan profil umur pokok yang lebih baik dan peningkatan kecekapan operasi, kata TA Securities.
Katanya, perkara itu disokong aktiviti penuaian yang lebih baik berikutan penyelesaian isu kekurangan buruh dan keadaan cuaca yang lebih baik.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya, harga minyak sawit mentah (MSM) berkemungkinan terjejas oleh penuaian kacang soya secara besar-besaran di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan.
"Peningkatan bekalan di wilayah ini, terutamanya kacang soya dan minyak pesaing lain, dijangka memberi tekanan ke bawah pada harga MSM," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat lebih dua kali ganda untuk suku kedua berakhir 31 Oktober 2024 (2QFY25) didorong purata harga MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi.
Kumpulan itu, yang beroperasi di Malaysia dan Indonesia, mencatatkan keuntungan bersih RM30.92 juta melonjak 125% daripada RM13.72 juta pada 2QFY24.
Ia merupakan keuntungan suku tahun tertinggi kumpulan dalam tempoh empat tahun sejak 2QFY21, selepas mencatatkan untung bersih RM36.1 juta dengan pendapatan RM143.85 juta.
Hasil untuk 2QFY25 melonjak 26.9% kepada RM183.44 juta daripada RM144.51 juta pada 2QFY24.
Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 24.2% dan 5.0%, dengan mengambil kira keputusan 2QFY25 yang lebih baik daripada jangkaan, pertumbuhan pengeluaran BTS yang lebih kukuh dan margin yang lebih baik.
"Kami memperkenalkan unjuran pendapatan FY27 kami sebanyak RM70.8 juta.
"Kami menyemak naik penarafan kumpulan daripada "pegang" kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.04 sesaham," katanya. - DagangNews.com








