KUALA LUMPUR 28 Mac - Pengeluar sarung tangan Malaysia diyakini mencatatkan keputusan posittif pada suku kedua 2025 didorong harga bahan mentah lebih rendah bermula Mac tahun ini dan pengurangan stok inventori.
RHB Research berkata, terdahulu, pembuat sarung tangan Malaysia mencatatkan jumlah jualan yang lebih lemah pada suku pertama 2025.
Katanya, keadan itu bertepatan dengan ancaman kehilangan bahagian pasaran Kesatuan Eropah (kerana China kini beralih kepada pasaran bukan Amerika Syarikat) yang dijangka menjejaskan keuntungan pemain Malaysia.
"Menurut semakan saluran kami, tempahan pelanggan untuk Mei 2025 meningkat secara beransur-ansur.
"Walaupun tidak direalisasikan ke dalam jualan sebenar, kami yakin tempoh pelarasan inventori tidak lama lagi kerana tempoh lebihan pesanan oleh pelanggan AS pada 2024 hanya bertahan selama enam bulan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu, pelarasan yang berlaku dari separuh kedua 2022 hingga separuh pertama 2024 adalah hasil daripada lebihan pembelian dari suku kedua 2020 hingga suku pertama 2022 disebabkan wabak COVID-19.
"Kami melihat hubungan positif antara tempoh pembelian berlebihan dan tempoh yang diperlukan untuk menghabiskan inventori.
"Oleh itu, kami memegang asas kami untuk menyimpan semula inventori sebelum separuh kedua 2025 yang sepatutnya memberi kesan pendapatan positif kepada pembuat sarung tangan Malaysia," katanya.
RHB Research menyukai pengeluar sarung tangan yang mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh, mempunyai kunci kira-kira yang kukuh dan mempunyai pendedahan jualan yang lebih tinggi kepada AS.
Firma penyelidikan itu terus memihak kepada Hartalega, Kossan Rubber dan Riverstone (disebabkan oleh prestasi margin rakan setara, pendedahan kepada sarung tangan bilik bersih dan pembayaran dividen yang konsisten).
"Kami mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu," katanya. - DagangNews.com








