KUALA LUMPUR 9 April - Pengeluar minyak sawit Malaysia berpotensi merampas bahagian pasaran daripada Indonesia, susulan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah dikenakan terhadap negara ini iaitu 24% berbanding republik itu dengan 32%.
CGS International berkata, pihaknya percaya keadaan tersebut boleh menyebabkan peralihan dalam rantaian bekalan, dengan pengeluar minyak sawit Malaysia berkemungkinan memperoleh bahagian pasaran di AS, disebabkan harga yang lebih kompetitif berbanding pesaing mereka dari Indonesia.
"Pada tahun 2024, AS mengimport 1.75 juta tan minyak sawit iaitu 2.2% daripada pengeluaran minyak sawit global, dengan 88% daripadanya berasal dari Indonesia.
"Indonesia dan Malaysia adalah pengeluar minyak sawit terbesar pertama dan kedua di dunia," kata CGS International dalam nota kajian sektor perniagaan pertaniannya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, ia memilih syarikat perladangan yang beroperasi lebih banyak di Malaysia kerana beberapa faktor antaranya adalah tarif yang dikenakan oleh AS, dasar kerajaan Indonesia yang mungkin menyebabkan kehilangan tanah kepada syarikat dan juga mata wang rupiah yang semakin lemah, yang boleh meningkatkan kos operasi bagi pengeluar di Indonesia.
Pilihan utama CGS International adalah SD Guthrie Bhd, Hap Seng Plantations Bhd dan Ta Ann Holdings Bhd.
Kerajaan Indonesia dilaporkan merancang untuk mengambil alih lebih satu juta hektar ladang kelapa sawit persendirian yang dianggap haram, untuk membersihkan industri dan meningkatkan pendapatan negara.
Pasukan Tugas Pengiktirafan Kawasan Hutan, yang dipimpin oleh Presiden Prabowo Subianto, telah mengenal pasti sekitar 1.2 juta hektar tanah sedemikian, terutamanya di Kalimantan Tengah, untuk dipindahkan kepada syarikat milik negara yang baharu, Agrinas Palma Nusantara.
Langkah berkenaan berpotensi menjadikannya syarikat minyak sawit terbesar dari segi keluasan tanah.
Indonesia kini mempunyai hampir 16 juta hektar tanah untuk ladang kelapa sawit, dengan sekitar 1.2 juta hektar dianggap haram, menurut kerajaan Indonesia.
Syarikat swasta memegang 55% daripada kawasan ladang kelapa sawit negara itu.
Banyak syarikat perladangan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Indonesia kerana kehilangan tanah-tanah tersebut akan memberi kesan besar terhadap pengeluaran mereka.
Sebaliknya, CGS International berkata, mata wang rupiah Indonesia telah susut nilai kira-kira 4% berbanding ringgit Malaysia setakat ini pada tahun ini.
"Kami percaya mata wang Indonesia yang lemah akan meningkatkan kos operasi, kerana harga baja dan beberapa komponen baja adalah dalam dolar AS," jelasnya. - DagangNews.com








