Pengeksport Malaysia dapat sesuaikan diri dengan rejim tarif baharu AS - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeksport Malaysia dapat sesuaikan diri dengan rejim tarif baharu AS - Maybank IB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Okt -  Data perdagangan luar Malaysia bagi September 2025 menunjukkan pemulihan eksport ke Amerika Syarikat, selepas kelembapan pada Jun dan Julai serta penurunan pada Ogos berikutan penguatkuasaan tarif timbal balik sebanyak 19% mulai 7 Ogos 2025, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Menurut firma tersebut, perkembangan itu mencerminkan keupayaan pengeksport Malaysia menyesuaikan diri dengan rejim tarif baharu Amerika Syarikat, termasuk strategi mempercepat penghantaran produk elektronik sebelum tempoh tarif berkuat kuasa sepenuhnya.

 

Namun begitu, bank pelaburan itu menjangka perdagangan luar Malaysia akan terus berdaya turun naik berikutan ketidaktentuan dasar tarif AS, khususnya kemungkinan penguatkuasaan tarif khusus terhadap produk semikonduktor, antara komoditi utama Malaysia yang kini masih dikecualikan daripada tarif AS.

 

Dalam masa sama, ketegangan perdagangan AS-China kembali meningkat apabila kedua-dua negara mengenakan pusingan baharu tarif dan sekatan perdagangan terhadap satu sama lain.

 

Dari segi data bulanan, eksport Malaysia meningkat 12.2% tahun ke tahun pada September 2025 (berbanding 1.7% pada Ogos), manakala import turut melonjak 7.3% (berbanding penurunan 5.9% pada Ogos).

 

Bagi suku ketiga 2025, eksport mencatat pertumbuhan 6.7% tahun ke tahun (2Q 2025: +3.3%), manakala import kekal hampir mendatar pada +0.4% (2Q 2025: +9.0%).

 

Ini menjadikan lebihan dagangan meningkat kepada RM50.3 bilion, berbanding RM14.1 bilion pada suku sebelumnya dan RM26 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Secara kumulatif bagi 9 bulan pertama 2025, eksport dan import masing-masing meningkat 4.8% dan 4.0%, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM105.7 bilion, sedikit rendah berbanding RM139 bilion pada 2024.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran tahun penuh pertumbuhan eksport dan import masing-masing sebanyak 4.8% dan 5.0%, dengan lebihan dagangan dijangka berjumlah RM142 bilion bagi keseluruhan tahun. - DagangNews.com