KUALA LUMPUR 21 Mei - Walaupun subsidi dilihat sebagai alat untuk membantu meringankan bebas kos sara hidup rakyat tetapi ahli ekonomi memberi amaran, kos untuk mengekalkan subsidi secara menyeluruh mungkin lebih tinggi berbanding jangkaan.
Sebagai contoh, subsidi bahan api telah membantu mengurangkan kesan kenaikan kos kepada rakyat tetapi pada masa sama membawa kesan sampingan yang tidak diingini seperti penggunaan berlebihan, ketirisan dan keuntungan kepada golongan berpendapatan tinggi.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams berkata, ketika ini peningkatan ketidaksamaan telah berlaku apabila kos subsidi melebihi manfaat.
"Ini sebabnya pelaksanaan subsidi bersasar sangat penting.
"Namun cabarannya kini bukan berapa banyak belanja yang digunakan untuk subsidi tetapi kerosakan yang berlaku sekiranya ia tidak dikawal," katanya seperti dilaporkan FMT.
Ahli ekonomi, Madeline Berma berpendapat, walaupun subsidi bukanlah sesuatu yang negatif secara asasnya, struktur semasa sering kali lebih menguntungkan golongan yang kurang memerlukan.
“Subsidi ini tidak disasarkan dengan baik. Golongan kaya, bukannya golongan rentan, yang menerima sebahagian besar manfaatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah membuat kemajuan yang membanggakan dalam merasionalisasikan subsidi diesel dan melaksanakan inisiatif bersasar seperti program Budi Madani.
Menurut Kementerian Kewangan, program tersebut telah membantu menjimatkan lebih daripada RM7 bilion, dengan pengurangan ketara dalam kegiatan penyeludupan dan ketirisan.
Ahli ekonomi dari Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata, subsidi menyeluruh menjadi liabiliti dan menggalakkan pembaziran apabila reformasi ditangguhkan.
“Hampir 40% daripada subsidi petrol RON95 yang berjumlah RM8 bilion dinikmati oleh 15% golongan terkaya dalam populasi dan warganegara asing,” katanya.
Pada 2023, subsidi bahan api telah melonjak melebihi RM50 bilion setahun, iaitu lebih besar daripada gabungan bajet kesihatan dan infrastruktur.
Ketidakcekapan itu memberi kesan berantai kerana dana yang sepatutnya boleh disalurkan kepada bidang yang lebih produktif seperti infrastruktur digital atau pendidikan tidak dapat dimanfaatkan.
“Wang yang hilang akibat ketirisan dan ketidakcekapan sepatutnya boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan, infrastruktur digital, atau daya tahan iklim. Ini bukan sahaja tidak cekap, malah tidak adil," katanya. - DagangNews.com








