KUALA LUMPUR 24 Mac - Para penganalisis kekal yakin mengenai prospek pengeluar hos industri Wellcall Holdings Bhd yang disokong oleh permintaan kukuh di pasaran Amerika Syarikat (AS), Kanada, Asia Barat dan Afrika.
BIMB Research berkata, keyakinan itu turut disokong oleh kedudukan kukuh kumpulan dalam pasaran hos getah industri serta tumpuannya terhadap pertumbuhan jumlah melalui strategi pesanan campuran tinggi, yang dijangka mengekalkan permintaan bagi rangkaian produknya.
Untuk suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir 30 September (1Q25), kumpulan mencatatkan sedikit penurunan dalam keuntungan bersih kepada RM13.29 juta berbanding RM13.67 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya juga menurun sebanyak 7.19% berbanding tahun lalu, kepada RM48.67 juta daripada RM52.44 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut BIMB Research, penurunan pendapatan berkenaan disebabkan oleh kurangnya permintaan terutamanya di Asia, Eropah, Australia, New Zealand, serta pasaran tempatan.
Kumpulan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap permintaan disebabkan kebimbangan mengenai penurunan ekonomi, dengan pelanggan mengurangkan inventori berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi global semasa.
Bagaimanapun, Wellcall menjangkakan pemulihan pesanan dalam tempoh sederhana, disokong oleh pemulihan aktiviti ekonomi di pelbagai rantau, dengan sasaran pemulihan pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, pasaran Afrika mencatatkan lonjakan luar biasa sebanyak 65.3% dalam jualan eksport pada 1Q25, seiring dengan pembukaan lebih banyak industri di rantau tersebut yang memerlukan penggunaan hos getah industri yang lebih tinggi.
"Kami difahamkan Wellcall sanggup menawarkan sedikit pengurangan harga kepada beberapa negara di Afrika.
"Kami percaya strategi ini sejajar dengan usaha Wellcall untuk mengekalkan momentum jualan, meningkatkan daya saing dan menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran di rantau Afrika. Ini membantu mengimbangi permintaan yang kurang di rantau lain," kata BIMB Research dalam satu nota kajian.
Afrika Selatan dan Ghana dicatatkan sebagai pasaran yang menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar untuk peningkatan pesanan jualan bagi kumpulan tersebut.
Pasaran AS dan Kanada mencatatkan peningkatan dalam sumbangan pendapatan sebanyak 20.46% kepada RM18.43 juta bagi suku tersebut, manakala Asia Barat pula mencatatkan peningkatan sebanyak 29% kepada RM4.24 juta.
Pada tahun 2023, Wellcall mengumumkan pelaksanaan pelan pengembangan dengan pembelian mesin barisan acuan canggih dari Itali untuk sebuah kilangnya.
BIMB Research menyatakan, mesin tersebut yang telah tiba dan dipasang pada bulan April 2024, membolehkan kilang Wellcall menampilkan tahap automasi yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata, Wellcall akan mendapat manfaat daripada peningkatan automasi dan proses pengeluaran yang dipermudah melalui pelaburannya dalam peralatan canggih.
"Ini dijangka mengurangkan masalah kebuntuan dan kos buruh, serta menguatkan kawalan kualiti.
"Dengan kapasiti yang meningkat dan fleksibiliti operasi, syarikat akan berada dalam kedudukan yang baik untuk bertindak balas dengan pantas terhadap dinamik pasaran dan permintaan pelanggan, memberikan kelebihan berbanding pesaing," kata firma penyelidikan tersebut.
Selain itu, pemerolehan tapak seluas 7.28 hektar oleh Wellcall yang terletak berhampiran kilang sedia ada, dijangka tidak akan dibangunkan menjadi kilang baharu dalam jangka pendek hingga sederhana.
BIMB Research berkata, kumpulan tersebut masih dalam proses memuktamadkan perancangan mereka dan pertimbangan utama bagi pembangunan tapak baharu tersebut termasuk ketersediaan pekerja asing, memandangkan kerajaan mendorong penggunaan tenaga kerja tempatan yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan mereka untuk Wellcall dan saranan 'beli' ke atas saham tersebut dengan harga sasaran RM1.87. - DagangNews.com








