KUALA LUMPUR 29 Mei — Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) masih berdepan dengan kerugian dalam perniagaan automotif apabila jualan Nissan di Malaysia merosot mendadak, kata penganalisis.
Mereka berpandangan, situasi negatif tersebut akibat persaingan sengit pelbagai jenama dari China, namun ada juga firma yang melihat potensi besar daripada nilai aset hartanah kumpulan berkenaan.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), syarikat tersebut kekal mencatat kerugian dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) Nissan merosot 41.4% tahun ke tahun (YoY) dalam tempoh tersebut.
Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham TCMH dengan harga sasaran (TP) 34 sen sesaham kerana menjangkakan kumpulan itu terus mencatat kerugian sepanjang tempoh unjuran.
"Syarikat ini merekodkan kerugian teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM34.1 juta dalam 1QFY26, yang disifatkan selari dengan jangkaan pasaran," katanya dalam nota.
Prestasi suku tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, turut dibantu oleh faktor keuntungan sekali sahaja sebanyak RM20.1 juta daripada pelupusan aset yang diklasifikasikan untuk jualan.
Menurut MBSB Research, segmen automotif yang dikendalikan TCMH merekodkan penyusutan pendapatan sebanyak 17.2% tahun ke tahun (YoY) disebabkan jualan kenderaan yang lebih lemah di semua pasaran.
Bagaimanapun jelas firma berkenaan, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menerusi segmen tersebut meningkat kira-kira 56.3% hasil pengurusan kos yang lebih baik.
"Pelancaran Nissan Serena e-POWER baharu pada Mac 2026 disusuli model e-POWER generasi kelima X-Trail akan membantu, namun kami masih berhati-hati terhadap prospek pemulihan syarikat," katanya.
Bagaimanapun secara suku ke suku (QoQ), kerugian TCMH mengecil 38.2% berbanding 4QFY25 disokong margin yang lebih baik dan kesan pergerakan tukaran mata wang asing (forex) memihak kepadanya.
Optimis Nilai Aset Tersembunyi Boleh Buka Potensi Saham
Berbeza dengan MBSB Research, RHB Research pula sebaliknya terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat tersbeut dengan TP 90 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 77%.
Firma penyelidikan itu berpandangan nilai sebenar kumpulan itu terletak pada aset hartanah dan tanah miliknya yang besar, walaupun tempoh untuk merealisasikan nilai tersebut masih belum jelas.
“Sebahagian besar aset TCMH sudah pun dinilai semula pada 2022 dan kami percaya penilaian buku syarikat berkenaan kini hampir kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV),” tambahnya lagi.
RHB Research berkata, kerugian teras 1QFY26 mengecil 48% berbanding suku sebelumnya kepada RM34.4 juta, manakala EBITDA kembali mencatat keuntungan RM12 juta hasil kawalan kos yang lebih baik.
Namun begitu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan jualan pelbagai model jenama Nissan kekal lemah tahun ini susulan persaingan agresif daripada pengeluar kenderaan China di Malaysia.
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), model pemasangan tempatan (CKD) Wuling Bingo EV menunjukkan peningkatan jualan apabila meningkat 86% bulan ke bulan (MoM) pada April 2026 kepada 91 unit.
"Kerjasama TCMH dengan Perodua untuk menyewa sebahagian fasiliti di Serendah ada perkembangan sederhana dengan 52 unit dijual pada April berbanding 11 unit pada Mac," kata RHB Research.
Ia berpandangan pelupusan atau pembangunan bank tanah kumpulan itu berpotensi menjadi pemangkin penarafan semula saham, namun kekurangan kejelasan masih menjadi risiko utama. - DagangNews.com








