Penganalisis ramal sektor pembuatan Malaysia berkembang tetapi berhati-hati terhadap tarif timbal balik Trump | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis ramal sektor pembuatan Malaysia berkembang tetapi berhati-hati terhadap tarif timbal balik Trump

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb - Penganalisis optimis terhadap pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia dirangsang oleh perkembangan sektor itu pada 2024, tetapi lebih berhati-hati terhadap tarif timbal balik yang dikuatkuasakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 


Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) dan jualan pembuatan Malaysia diramal berkembang pada kadar yang stabil tetapi sederhana dipacu oleh kestabilan domestic, kata BIMB Securities. 


Memetik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), firma penyelidikan itu berkata, jualan sektor pembuatan mencecah RM1.9 trilion pada 2024, mewakili kenaikan 4.6% tahun ke tahun (YoY), sektor itu menunjukkan kestabilan disebalik tekanan luar dengan mencatat jualan RM158.4 bilion pada Disember 2024.

 

“Kami meramalkan sektor pembuatan Malaysia menghadapi ketidaktentuan semakin meningkat didorong oleh risiko geopolitik, dasar perdagangan  berkembang dan potensi gangguan rantaian bekalan pada 2025. 

 

“Walaupun sektor eksport Malaysia mungkin tidak terjejas secara langsung oleh langkah tarif AS, kesan limpahan tidak langsung melalui rakan perdagangan utama, khususnya China dan potensi kelembapan permintaan serantau boleh menjejaskan sektor pembuatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 


BIMB Securities berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) bakal dikesan oleh ketegangan perdagangan AS-China yang boleh menjejaskan kedudukan strategik Malaysia dalam rangkaian bekalan tertumpu China.

 


"Trajektori perkembangan ekonomi Malaysia kekal berkait rapat dengan hubungan perdagangan dengan China, manakala tarif ke atas Kanada dan Mexico baru-baru ini akan menambah ketidakpastian dasar, mewujudkan persekitaran luaran yang tidak menentu bagi industri eksport Malaysia," katanya. 

 

Walaubagaimanapun, firma tersebut berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peralihan dinamik perdagangan global, terutamanya apabila syarikat multinasional mempelbagaikan pengeluaran dari China untuk mengurangkan risiko geopolitik.

 

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bakal mengukuhkan asas pembuatannya dan meningkatkan daya saing perdagangan.

 

"Sektor E&E, pemacu utama pertumbuhan perindustrian Malaysia, bersedia untuk mendapat manfaat daripada penyelarasan semula ini," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Trump kenakan tarif baharu 25% ke atas keluli AS, import aluminium: EU akan bertindak balas

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata dalam jangka sederhana, strategi perdagangan dan perindustrian China yang sedang berkembang memberikan peluang tambahan untuk Malaysia. 

 

"Ini kerana apabila syarikat China berusaha untuk mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka untuk memintas sekatan geopolitik, kepakaran Malaysia yang mantap dalam pembuatan bernilai tinggi akan meletakkannya sebagai penerima strategik penyelarasamnsemula rantaian bekalan.

 

“Secara keseluruhan, pemulihan sektor pembuatan Malaysia pada 2025 akan bergantung kepada permintaan global, sokongan domestik, pengukuhan permintaan global dan momentum domestik yang mampan,” katanya.- DagangNews.com