KUALA LUMPUR 16 Mac – Langkah Eco World Development Group Berhad menjalin kerjasama strategik dengan JLand Group Berhad dilihat mampu memperkukuh kedudukan syarikat itu, menurut penganalisis.
Ia susulan usaha pembangunan tiga projek hartanah di Johor dan Australia, dengan mengakui pelan berkenaan sebagai perancangan strategik bagi mengembangkan portfolio pembangunan EcoWorld sendiri.
Kedua-dua pihak tersebut baru-baru ini memeterai tiga perjanjian langganan dan pemegang saham (SSA) secara usaha sama (JV) 50:50, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM2.4 bilion.
MBSB Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap EcoWorld dengan harga sasaran (TP) disemak kepada RM2.22 berbanding RM2.20 sebelum ini selepas diambil kira sumbangan projek baharu itu.
"EcoWorld pernah ada projek pertama di luar negara iaitu Macquarie Park, Sydney, Australia bagi pembangunan pangsapuri 16 tingkat dengan 123 unit serta GDV A$153 juta (RM422 juta)," katanya.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpandangan yang impak projek luar negara itu terhadap syarikat berkenaan adalah terhad kerana saiz pembangunan relatif adalah kecil serta tidak ketara.
Justeru berdasarkan situasi tersebut, secara keseluruhan, MBSB Research mengambil pendirian neutral terhadap JV dilaksanakan EcoWorld di Australia memandangkan skala projek itu tidak besar.

Sebaliknya, ia lebih positif terhadap pengembangan EcoWorld di Iskandar Malaysia, Johor khususnya pembangunan tanah berkeluasan 3.4 hektar di Larkin, Johor Bahru dengan GDV sekitar RM1 bilion.
"Projek ini dijangka merangkumi pembangunan apartmen servis dan komponen komersial serta mendapat manfaat permintaan hartanah berhampiran selain projek rel sistem transit pantas (RTS)," katanya.
Selain itu jelas MBSB Research, EcoWorld turut merancang pembangunan IBTEC South di Kulai sebagai Eco Business Park 9, yang melibatkan tanah seluas 128 hektar dengan GDV mencecah RM1 bilion.
Menurut firma penyelidikan tersebut, segmen taman perniagaan merupakan penyumbang penting kepada jualan EcoWorld apabila menyumbang 36% daripada jualan baharu bagi empat bulan pertama FY26.
Dari segi kewangan, kesan terhadap kunci kira-kira syarikat dijangka kecil kerana keperluan bagi pembiayaan daripada Eco World dianggarkan hanya RM45 juta daripada jumlah kos tanah RM300 juta.
"Walaupun prospek hasil FY26 dijangka bertambah baik, kami berpendapat sebahagian besar potensi itu diambil kira dalam harga saham semasa dengan kenaikan dilihat terhad," kata MBSB Research.
Berbeza dengan pandangan firma berkenaan, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap EcoWorld dna menetapkan TP sesaham yang lebih tinggi iaitu RM3.06, berbanding RM3.03 sebelum ini.

Bersandarkan projek JV dengan JLand itu, ia menganggarkan saham syarikat pemaju hartanah tersebut berpotensi meningkat lagi sekitar 42% selain menawarkan pulangan dividen kira-kira 4% bagi FY26.
Katanya, dua projek di Iskandar Malaysia itu adalah elemen paling strategik dalam rangka kerjasama tersebut kerana kawasan berkenaan sebenarnya merupakan pasaran utama bagi EcoWorld sendiri.
"Selama ini, kawasan Iskandar Malaysia menyumbang kira-kira 57% daripada jualan hartanah EcoWorld pada FY24 dan 50% pada FY25, menjadikannya pemacu utama pertumbuhan syarikat," kata RHB Research.
Kerjasama dengan JLand Group, yang merupakan platform hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp), dilihat memberi kelebihan kepada EcoWorld memandangkan JLand memiliki bank tanah luas.
Dari segi pelancaran projek, pembangunan di Macquarie Park dan Larkin dijangka dilancarkan pada 4QFY26, manakala kerja infrastruktur bagi projek IBTEC diramal bermula seawal suku kedua 2026**.
Walaupun begitu, RHB Research mengekalkan unjuran hasil EcoWorld bagi FY26 hingga FY28 kerana sumbangan keuntungan daripada projek Larkin dijangka hanya direkodkan sekitar akhir FY28.
"TP baharu ditentukan berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) yang turut mengambil kira potensi pembangunan pusat data pada masa depan," kata firma tersebut. - DagangNews.com








