Penganalisis percaya Aethera Residence jadi harapan UOA Development pulih selepas 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis percaya Aethera Residence jadi harapan UOA Development pulih selepas 1QFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Mei — Projek Aethera Residence di Johor Bahru, Johor kini menjadi tumpuan utama penganalisis untuk memacu semula pemulihan pendapatan UOA Development Berhad pada tahun ini.

 

Jangkaan tersebut selepas kumpulan itu mencatatkan prestasi suku pertama FY26 yang lebih lemah berikutan isu pengebilan kemajuan projek didapati perlahan dan tekanan ke atas margin keuntungan.


Walaupun keputusan 1QFY26 dilihat kurang memberangsangkan, dua firma penyelidikan percaya prestasi syarikat dijangka bertambah baik dalam suku-suku akan datang disokong sumbangan projek baharu itu.


Antaranya RHB Research yang dalam analisisnya itu, mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.10, manakala MBSB Research masih lagi tidak mengubah syor 'neutral' dengan TP RM1.86.


"Kami mendapati keuntungan bersih teras UOA Development bagi 1QFY26 susut 41.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM46.8 juta, dan selari dengan penurunan hasil sebanyak 25.1%," jelas MBSB Research.


Firma itu berkata, prestasi lebih lemah tersebut berpunca akibat pengebilan kemajuan lebih rendah bagi projek Bamboo Hills Residences, Aster Hill dan Duo Tower, selain ada faktor musim perayaan.


Tambahnya, margin keuntungan kasar kumpulan berkenaan sepanjang tempoh tiga bulan tersebut turut didapati semakin mengecil kepada hanya sebanyak 31% berbanding kira-kira 40% dicatat setahun lalu.


Selain itu kata MBSB Research, sumbangan daripada pembinaan pusat perubatan di Bangsar South yang menyokong keputusan kewangan sebelum ini juga berakhir selepas projek tersebut siap pada FY25.

 

UOA Development_DagangNews2026

 

 

Bagaimanapun, RHB Research pula menjangka prestasi pendapatan UOA Development berupaya kembali meningkat pada separuh kedua FY26 apabila projek Aethera Residence mula menyumbang lebih besar.


"Di samping itu, potensi penyiapan projek Aster Hill dan Duo Tower menjelang hujung tahun ini turut akan membantu kumpulan berkenaan selepas melalui prestasi yang lemah bagi 1QFY26," ujarnya.


Unjuran itu berdasarkan projek Aethera Residence yang mendapat sambutan memberangsangkan dengan kira-kira 75% unit dibuka untuk jualan sudah habis dijual atau ditempah pembeli setakat ini.


RHB Research menjangkakan jualan projek tersebut terus mengalir dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang, khususnya menjelang siapnya sistem rel RTS Johor Bahru-Singapura pada Disember 2026.


Bagi 1QFY26, UOA Development merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM131 juta berbanding RM108.3 juta pada 4QFY25 dengan Aethera Residence menyumbang sekitar 59% daripada jumlah jualan.


"Walaupun jualan baharu naik, jualan belum dibilkan kumpulan susut kepada RM612.4 juta berbanding RM656.5 juta pada suku sebelumnya, memberi keterlihatan hasil kurang daripada setahun," katanya.


Kumpulan itu ujar RHB Research namun kini berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.73 bilion yang dilihat cukup untuk membiayai projek semasa serta peluang pembelian bank tanah baharu.


Dalam pada itu, MBSB Research pula berpandangan, hasil dividen menarik UOA Development sekitar 5.6% serta kedudukan kewangan yang sihat terus menjadi faktor sokongan kepada saham kumpulan itu.


Namun begitu, firma tersebut masih berhati-hati terhadap prospek pendapatan jangka pendek berikutan pengebilan kemajuan yang masih perlahan dan tekanan margin keuntungan. - DagangNews.com