Penganalisis optimis terhadap prospek sektor gas dan minyak walaupun Petronas catat untung rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis optimis terhadap prospek sektor gas dan minyak walaupun Petronas catat untung rendah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Penganalisis mempunyai pandangan positif mengenai industri minyak dan gas (O&G) walaupun Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mencatat keuntungan lebih rendah. 

 

Berikutan keputusan pengeluar gas nasional untuk melaporkan keputusan kewangan setiap enam bulan dan bukannya pada suku tahunan,  Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berpendapat keputusan Petronas bagi separuh kedua 2024 "tidak memberangsangkan".

 

Berdasarkan Laporan Tinjauan Aktiviti (PAO) 2025 hingga 2027 terkini Petronas, Maybank IB mengenal pasti subsegmen utama yang dijangka menjalankan lebih banyak aktiviti .

 

Ini termasuk fabrikasi struktur tetap seperti platform kepala telaga dan platform pemprosesan pusat, kapal penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO), pemulihan loji hiliran darat, serta penyambung dan pentauliahan (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM).

 

"Kami menjangkakan penerima utama sektor ini termasuk Bumi Armada Bhd, Yinson Holdings Bhd, MISC Bhd, Dialog Group Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd, Steel Hawk Bhd, Dayang Enterprise Holdings Bhd dan Petra Energy Bhd,” katanya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "positif" pada sektor O&G.

 

Sementara itu, RHB Research berpendapat penukaran pelaporan kewangan Petronas kepada setiap enam bulan dan perbincangan berterusan dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) terus menimbulkan ketidaktentuan terhadap sektor itu kerana sasaran perbelanjaan modal (capex) Petronas masih tidak jelas.

 

“PETRONAS masih menunggu butiran perbincangan antara kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak mengenai skop kerjasama dengan Petros.

 

“Ditegaskan lagi, semua kontrak yang membawa kepada Ordinan Pengagihan Gas 2016 akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

 

“Walaupun masih tiada panduan mengenai sasaran perbelanjaan capex untuk tahun ini, kami tidak menolak kemungkinan penurunan belanjawan sebanyak 20% tahun ke tahun kepada kira-kira RM43 bilion bagi 2025, terutamanya apabila masih terdapat ketidakpastian mengenai beberapa pengaturan kerja antara Petros dan Petronas,” kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat pengurangan umum dalam panduan aktiviti PAO 2025 hingga 2027, yang dikatakan tidak mengejutkan memandangkan skala dalam perbelanjaan.

 

Ia maih menyukai bahagian penyelenggaraan, menjangkakan segmen itu terjejas kesan paling sedikit daripada pengurangan perbelanjaan. 

 

Syarikat minyak seperti Bumi Armada, Dayang Enterprise dan Yinson sebagai kaunter pilihannya untuk sektor itu, mengekalkan panggilan "overweight" terhadap industri.

 

Dalam nota berasingan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research melaporkan bahawa belanjawan Petronas untuk tahun kewangan 2024 meningkat kepada RM54.2 bilion daripada RM52.8 bilion pada 2023, dengan 52% diperuntukkan kepada projek huluan utama seperti Pembangunan Lapangan Gas Kasawari dan Minyak Bekok Bersepadu.

 

“Daripada jumlah belanjawan, RM33 bilion atau 61% digunakan untuk Malaysia, lebih tinggi daripada RM26 bilion pada tahun sebelumnya.

 

"Kami menganggap peningkatan dalam belanjawan domestik pada 2024 sebahagiannya menyumbang kepada prestasi pendapatan cemerlang bagi banyak kontraktor perkhidmatan luar pesisir pada tahun itu," katanya.

 

HLIB mengekalkan panggilan "neutral" terhadap sektor itu tetapi kekal positif terhadap pemain MCM/HUC dan kontraktor penyelenggaraan loji, kerana mereka berkemungkinan akan mengatasi prestasi subsegmen lain.

 

Firma tersebut menganggap penurunan jualan berterusan dalam pemain O&G tempatan, perkhidmatan dan peralatan yang timbul daripada kebimbangan mengenai saga Petronas-Petros dan ketidaktentuan geopolitik mungkin  keterlaluan, terutamanya di kaunter dengan prospek pendapatan yang stabil pada 2025 seperti Dayang Enterprise.

 

Sementara tu, HLIB memilih Dialog dan Wasco Bhd sebagai pilihan utamanya. - DagangNews.com