KUALA LUMPUR 12 Feb — Prospek penilaian CelcomDigi Bhd kekal terhad dalam jangka terdekat apabila manfaat sinergi penggabungan dijangka hanya memberi kesan bermakna mulai 2027, kata penganalisis.
Sementara itu tambah tiga firma penyelidikan tempatan berkenaan, isu ketidaktentuan berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB) terus menjadi risiko utama kepada pendapatan kumpulan tersebut.
Keputusan kewangan suku keempat tahun kewangan 2025 didapati berada di bawah jangkaan konsensus, disebabkan kos susut nilai dan pelunasan (D&A) serta perbelanjaan operasi tinggi daripada unjuran.
Maybank Investment Bank masih mengekalkan saranan 'pegang' ke atas CelcomDigi dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.30 daripada RM3.60, susulan semakan turun unjuran pendapatan.
"Untung bersih 4QFY25 iaitu RM350 juta gagal memenuhi jangkaan akibat D&A tinggi, manakala bagi prestasi FY25, untung bersih RM1.51 bilion pula adalah 10% di bawah unjuran pasaran," katanya.
Firma itu berkata, sinergi penggabungan hanya dijangka menyumbang secara bermakna mulai lewat FY27, sekali gus dapat mengehadkan potensi penarafan semula saham tersebut dalam tempoh terdekat.
Tambahan pula kata Maybank IB, terdapat risiko penurunan pendapatan ke atas CelcomDigi apabila kerugian DNB mula diambil kira pihak pengurusan kumpulan itu melalui kaedah perakaunan ekuiti.
Ia menganggarkan hasil dividen kekal melebihi 4%, dengan andaian nisbah pembayaran 100%, meskipun syarikat itu mengunjurkan pertumbuhan FY26, sejajar dengan hasil perkhidmatan yang sederhana.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut mengekalkan penarafan 'neutral ke atas saham kumpulan tersebut, namun menurunkan sedikit TP kepada RM3.50 berbanding RM3.80 sebelum ini.
"Prestasi pada FY25 berada antara 91% hingga 92% daripada jangkaan konsensus, dengan kekurangan pertumbuhan sebahagian besar berpunca akibat kos operasi yang tinggi daripada unjuran," katanya.
Artikel berkaitan: Untung bersih CelcomDigi melonjak 120% kepada RM349.59 juta pada 4QFY25
Walaupun integrasi rangkaian hampir selesai, penyepaduan sistem teknologi maklumat (IT) dijangka hanya berakhir pada FY27, dan firma itu menjangkakan penjimatan kos tahunan sebanyak RM700 juta.
Bagaimanapun jelas PublicInvest, perkara tersebut hanya dapat direalisasikan sepenuhnya CelcomDigi mulai FY28, dan turut menegaskan potensi pengambilalihan tambahan saham DNB sebagai berisiko.
Isu ketidaktentuan pengewangan 5G kekal sebagai cabaran pendapatan jangka terdekat, walaupun terdapat ruang untuk penambahbaikan nilai apabila proses integrasi berada di peringkat akhir.
Dalam pada itu, Phillip Capital Research mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP yang tidak berubah pada RM3.47 sesaham, sambil menyatakan pendapatan teras FY25 meningkat 9.4% tahun ke tahun (YoY).
"Ia sejajar dengan jangkaan dalaman tetapi masih di bawah konsensus, dengan pertumbuhan disokong oleh faktor peningkatan pelanggan pascabayar dan gentian rumah," kata firma penyelidikan tersebut.
Bagaimanapun, situasi positif dicatatkan tersebut diimbangi pula oleh penurunan pelanggan prabayar CelcomDigi serta tekanan margin perolehan kasar akibat kos peranti dan caj yang berkaitan 5G.
Justeru Phillip Capital kekal berhati-hati terhadap potensi kenaikan secara terhad dalam pasaran mudah alih yang semakin tepu serta pengewangan 5G lebih perlahan daripada jangkaan awal.
Firma itu namun melihat nilai prospek jangka panjang kumpulan telekomunikasi berkenaan disokong kedudukan pasaran dominan dan sasaran sinergi selepas penggabungan yang berjumlah RM8 bilion.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga analisis berpandangan CelcomDigi masih menawarkan pulangan dividen yang menarik, tetapi kekurangan pemangkin pertumbuhan jangka pendek serta isu ketidaktentuan DNB.
Cabaran yang masih menyelubungi perkhidmatan rangkaian gelombang 5G dijangka terus mengehadkan potensi kenaikan harga saham kumpulan tersebut dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








