KUALA LUMPUR 29 Mei — Tekanan kos pembinaan yang semakin meningkat, kelembapan permintaan hartanah serta penyusutan margin mula memberi kesan kepada prestasi Matrix Concepts Holdings Berhad.
Menurut penganalisis, situasi itu menyebabkan keuntungan kumpulan ini pada FY26 gagal memenuhi jangkaan pasaran, namun masih mengekalkan pandangan positif terhadap prospek jangka panjang.
Antaranya MBSB Research yang menilai keuntungan bersih teras sebanyak RM215.4 juta berada di bawah jangkaan apabila hanya memenuhi 90% daripada unjuran firma itu dan 88% anggaran konsensus.
"Prestasi lemah Matrix Concepts disebabkan bil kemajuan projek rendah daripada anggaran selain tekanan margin keuntungan, dan pemulihan hasil pada 4QFY26 juga adalah agak perlahan," katanya.
Situasi itu ujarnya berikutan peningkatan kos sekitar Mac 2026, dengan keuntungan bersih teras suku keempat FY26 susut 30.3% suku ke suku (QoQ) kepada RM34.9 juta selari penurunan 16.5% hasil.
Secara tahunan (YoY) pula kata MBSB Research, keuntungan merosot 18.3% walaupun hasil naik 1.2%, terutama disebabkan pengecilan margin keuntungan kasar kepada 37.1% berbanding 51.9% setahun lalu.
Tambahnya lagi, tekanan margin ke atas Matrix Concepts berpunca daripada pengiktirafan produk bermargin rendah dan projek bertingkat tinggi yang kelazimannya menawarkan pulangan lebih rendah.
"Jualan hartanah kumpulan berkenaan yang dicatatkan sepanjang FY26 sebanyak RM1.5 bilion juga sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding sasaran pengurusan kira-kira RM1.6 bilion," katanya.
Pada masa sama ujar MBSB Research, nisbah penggearan atau hutang bersih meningkat kepada 0.37 kali daripada 0.19 kali sebelum ini susulan pinjaman baharu bagi pengambilalihan tanah projek baharu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham, yang berdasarkan diskaun 30% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV).
Pembangunan MVV City katanya, kekal menjadi pemangkin utama dalam jangka pendek manakala projek di Sendayan, Negeri Sembilan dan Lembah Klang dijangka memastikan pertumbuhan hasil terus stabil.
Kos Binaan Jejaskan Prestasi Suku Keempat
Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Matrix Concepts tetapi menurunkan sedikit TP sesaham kumpulan tersebut kepada RM1.65, berbanding RM1.79 sebelum ini.
"Prestasi bagi 4QFY26 terjejas akibat beberapa faktor termasuk masalah sistem e-signing di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta isu permintaan yang lebih perlahan," jelasnya.
Ujarnya, margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) suku itu lebih lemah pada 17.9% akibat campuran produk margin rendah, peningkatan kos pembinaan dan fasa awal pembangunan MVV City.
RHB Research berkata, sepanjang tempoh suku tersebut turut menyaksikan Matrix Concepts memperoleh sumbangan yang pertama menerusi jualan tanah industri MVV City dengan mencecah nilai RM46.7 juta.
Bagi FY26, jualan hartanah kekal stabil RM1.51 bilion berbanding RM1.38 bilion tahun sebelumnya dengan Sendayan Developments menyumbang yang paling besar iaitu 59% daripada keseluruhan jualan.
"Pengurusan turut meletakkan sasaran jualan pada FY27 antara RM1.8 bilion hingga RM2 bilion yang sebahagiannya bergantung kepada beberapa transaksi tanah utama di MVV Tech Valley," tambahnya.
Matrix Concepts dijangka melancarkan projek Levia Puchong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM610 juta pada separuh kedua FY27 selepas projek Levia Cheras mencatat kadar ambilan 81.4%.
RHB Research turut menurunkan unjuran hasil FY27 dan FY28 masing-masing 6% dan 8%, mengambil kira risiko di Timur Tengah yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan. - DagangNews.com








