Penganalisis kekal optimis permintaan elektrik tinggi pusat data bakal tingkatkan potensi TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis kekal optimis permintaan elektrik tinggi pusat data bakal tingkatkan potensi TNB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mei — Pertumbuhan pesat pusat data (DC) terus menjadi pemacu utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penganalisis mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat utiliti itu.

 

Mereka berpandangan potensinya kekal kukuh dengan turut disokong peningkatan permintaan elektrik, kerangka tarif yang masih lagi stabil serta pelaksanaan pelbagai projek peralihan tenaga negara.


Antaranya MBSB Research yang menyifatkan keuntungan teras bagi suku pertama tahun kewangan 2026 naik 4.9% kepada RM1.08 bilion, didorong pertumbuhan permintaan elektrik 7% tahun ke tahun (YoY).


"Hasil TNB meningkat 6.6% kepada RM17.1 bilion, manakala mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) merekodkan lebihan pemulihan kos bahan api sebanyak RM861.7 juta," jelasnya dalam analisis.


Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan elektrik akan terus berkembang sebanyak 5.4% pada tahun kalendar 2026, serta menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan tersebut pada masa depan.


Penggunaan perbelanjaan modal (capex) terkawal sebanyak RM2.47 bilion dalam 1QFY26 meningkatkan nilai Regulated Asset Base (RAB) kepada RM76.95 bilion, yang memperkukuh pulangan jangka panjang.


MBSB Research turut menyifatkan lanjutan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama lima tahun bagi Stesen Janakuasa Hidro Kenyir berkapasiti 400MW sebagai perkembangan positif kepada TNB sendiri.


"Langkah terbaharu berkenaan membolehkan aset tersebut dapat terus menyumbang kepada keuntungan kumpulan sambil menyokong kestabilan grid elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia," tambahnya.


Berdasarkan kepada perkembangan positif itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan harga sasaran (TP) sesaham iaitu RM16.40 dengan menilai kepesatan DC sebagai pemangkin pertumbuhannya. 

 

Artikel berkaitan: TNB kekal berdaya tahan, fokus kepada bekalan stabil dan nilai untuk rakyat

 

Sementara itu, RHB Research mengekalkan TNB sebagai pilihan utama sektor utiliti dengan TP RM16.50 yang menawarkan potensi kenaikan kira-kira 14% selain hasil dividen diunjurkan hampir 4% bagi FY26.


Menurutnya lagi, pertumbuhan jualan elektrik sebanyak 7% disumbangkan terutamanya daripada sektor komersial yang merangkumi bekalan tenaga kepada DC, perkhidmatan perniagaan dan sektor runcit.


"Malah, TNB mencatatkan satu lagi rekod permintaan puncak elektrik baharu sebanyak 21,469MW pada April 2026, meningkat 2% berbanding rekod terdahulu yang dicapai pada Mei 2025," jelas firma itu.


RHB Research turut menjangkakan kadar cukai efektif (ETR) yang naik kepada 31% pada suku pertama akan kembali susut dalam suku berikutnya apabila TNB terus mengiktiraf insentif elaun pelaburan.


Ujarnya, kumpulan itu berada pada kedudukan terbaik daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala kerangka kawal selia yang jelas menyediakan asas pendapatan stabil.


Bagaimanapun, ia mengingatkan pelaksanaan cukai karbon, kelewatan kelulusan capex serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi berpotensi menjadi risiko utama kepada unjuran prestasi syarikat.


Secara keseluruhan, RHB Research melihat prospek TNB kekal cerah, disokong pertumbuhan permintaan tenaga, pengembangan industri DC serta kestabilan hasil menerusi kerangka tarif. - DagangNews.com