KUALA LUMPUR 13 Feb – Tiga firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap Maxis Berhad selepas keputusan tahun kewangan 2025 (FY25) diumumkan menepati jangkaan analisis masing-masing.
Bagaimanapun mereka berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan berikutan peningkatan risiko kos 5G, perbelanjaan modal (capex) tinggi serta ketidaktentuan melibatkan Digital Nasional Berhad (DNB).
Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih teras sekitar RM1.56 bilion bagi FY25, meningkat kira-kira 11% hingga 12% tahun ke tahun (YoY), disokong faktor kecekapan operasi dan pengembangan margin.
RHB Research namun mengekalkan harga sasaran (TP) baharu RM4.20 berbanding RM4.25 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 10% serta unjuran hasil dividen FY26 sebanyak kira-kira 5%.
"Pendapatan teras Maxis FY25 adalah selari jangkaan, manakala untung kasar tahunan naik 5% YoY dengan margin mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun disebabkan disiplin kos," katanya.
Firma itu tetapi berhati-hati terhadap trajektori hasil masa depan berikutan caj borong tinggi 5G sekitar RM135 juta direkodkan pada FY25, peningkatan capex serta potensi kerugian daripada DNB.
Selain itu jelas RHB Research, syarikat telekomunikasi berkenaan turut membimbing intensiti capex lebih tinggi pada kadar kira-kira 10% hingga 12% bagi FY26 berbanding FY25 hanya sekitar 9%.
Usaha tersebut tambah firma penyelidikan tersebut, dilaksanakan bagi mempercepat perluasan gentian optik, termasuk penyambungan pelbagai pusat data (DC) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sementara itu, MBSB Research turut menyemak sedikit TP ke atas Maxis kepada RM3.92 daripada RM3.90, selepas mengambil kira keputusan 4QFY25, dengan jangkakan prestasi pendapatan yang mampan.
"Dengan keuntungan normal suku keempat meningkat 13% YoY kepada RM379 juta, margin untung bersih didapati bertambah kepada 13% daripada 12% setahun lalu disebabkan pengurusan kos ketat," katanya.
Artikel berkaitan: Untung bersih Maxis melonjak 11.8% kepada RM1.56 bilion bagi FY25, isytihar dividen 17.5 sen
Secara kumulatif, pendapatan ternormal FY25 sebanyak RM1.6 bilion, meningkat 11% YoY adalah dalam jangkaan firma berkenaan, didorong kecekapan operasi serta sumbangan kukuh segmen pascabayar.
Selain itu kata MBSB Research, talian tetap dan rumusan perusahaan serta hasil prabayar Maxis juga dilihat kekal berdaya tahan, namun ia menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu tertentu.
Antaranya jelas firma penyelidikan tersebut, kemungkinan tanggungjawab kewangan yang lebih besar berkaitan DNB sekiranya Kementerian Kewangan melaksanakan opsyen jual menjelang hujung tahun.
"Capex FY25 melonjak lebih 40% YoY kepada RM986 juta dan dijangka melebihi sebanyak RM1 bilion pada FY26 bagi menaik taraf rangkaian dan memperkukuh keupayaan teras," katanya dalam nota kajian.
Dalam pada itu, Public Investment Bank mengekalkan TP RM4.00 selepas keuntungan bersih Maxis bagi FY25 sebanyak RM1.561 bilion (+11.8% YoY) memenuhi 100% hingga 101% jangkaan firma dan konsensus.
Bagi 4QFY25 katanya, keuntungan bersih bertambah kira-kira 18.4% YoY kepada RM380 juta, disokong pertumbuhan hasil perkhidmatan 2.1% YoY kepada RM2.296 bilion dan hasil peranti yang lebih tinggi.
Segmen pascabayar, gentian rumah serta tetap dan rumusan perusahaan mencatat pertumbuhan, manakala pengurusan menyasarkan pertumbuhan hasil perkhidmatan pada kadar satu digit rendah bagi FY26.
"Kami namun menilai ketidaktentuan berhubung pembangunan 5G negara dan potensi kesan perakaunan ekuiti daripada kerugian DNB sekiranya opsyen jual dilaksanakan kerajaan," kata PublicInvest.
Maxis mengisytiharkan dividen interim akhir 4 sen serta dividen khas kira-kira 1.5 sen, menjadikan jumlah dividen bagi FY25 sebanyak 17.5 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran sekitar 88%.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga firma tersebut berpandangan bahawa walaupun disiplin kos dan kecekapan operasi menyokong prestasi semasa, potensi kenaikan harga saham adalah terhad.
Mereka menjangkakan kumpulan tersebut berdepan kekangan peningkatan harga saham dalam tempoh terdekat berikutan pertumbuhan sederhana dan risiko berkaitan 5G serta DNB. - DagangNews.com








