KUALA LUMPUR 22 Mei — Gangguan teknikal melibatkan aset penting FPSO Kraken menjadi punca utama kejatuhan mendadak keuntungan Bumi Armada Berhad bagi suku pertama tahun kewangan 2026.
Menurut penganalisis, perkembangan negatif tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap kestabilan pendapatan kumpulan berkenaan dalam tempoh jangka pendek.
Walaupun prestasi suku semasa jauh di bawah jangkaan pasaran, mereka masih mengekalkan pandangan positif berikutan kedudukan buku tempahan yang kukuh, dan pengurangan hutang secara berterusan.
Antaranya CGS International (CGSI) berpandangan masalah teknikal FPSO Kraken sepanjang Januari dan Februari 2026 menjadi faktor keuntungan 1QFY26 jatuh 78% tahun ke tahun (YoY) kepada RM40 juta.
"Kadar penggunaan kapal tersebut yang merosot kepada kira-kira 77% menyebabkan kehilangan hasil sebanyak RM11 juta berbanding sasaran asal Bumi Armada bagi tempoh tiga bulan tersebut," kata firma itu.
Kumpulan berkenaan pada masa sama, perlu membuat peruntukan sebanyak RM16 juta susulan lanjutan kontrak pilihan tahun ketiga FPSO Kraken oleh pelanggannya iaitu EnQuest, sehingga Mac 2028.
Ujar CGSI, perbelanjaan tambahan itu melibatkan penalti kontrak bagi beberapa komponen peralatan yang tidak dibaiki kerana kos pembaikan dianggarkan lebih tinggi berbanding pembayaran penalti.
Selain itu, ia melihat potensi besar daripada peluang kontrak FPSO Tangkulo di Indonesia, yang menurut laporan industri kini menjadi rebutan antara Bumi Armada dan Yinson Holdings Berhad.
"Kami percaya kemenangan kontrak ini menjadi pemangkin utama mengubah sentimen pelabur terhadap saham syarikat selepas beberapa tahun tanpa kontrak FPSO baharu yang signifikan," tambahnya.
Bagaimanapun, jika gagal diraih, CGSI menjangka syarikat berkemungkinan menggunakan lebihan tunai untuk melaksanakan pembelian balik saham atau meningkatkan pembayaran dividen pemegang saham.

Turunkan Unjuran Keuntungan Tetapi Kekal Optimis
RHB Research pula mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Bumi Armada, namun harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 40 sen berbanding 54 sen selepas menyemak unjuran sumbangan FPSO Kraken.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keputusan 1QFY26 hanya memenuhi sekitar 8% hingga 9% daripada unjuran tahunan mereka dan konsensus, jauh lebih rendah daripada jangkaan awal pasaran sendiri.
"Pendapatan suku pertama merosot hampir kira-kira 12% berbanding suku sebelumnya kepada sebanyak RM306.6 juta, manakala keuntungan teras didapati susut lebih separuh kepada RM40.1 juta," katanya.
Menurut RHB Research, faktor utama yang menjejaskan teruk prestasi Bumi Armada ialah pengiktirafan peruntukan pampasan berkaitan lanjutan kontrak Kraken, dan gangguan operasi sepanjang suku itu.
Prospek jangka sederhana syarikat namun disokong kontrak jangka panjang bernilai RM7.5 bilion, prestasi operasi yang stabil serta pengurangan kos kewangan berikutan pelbagai usaha dilakukan.
Susulan prestasi semasa itu, ia menurunkan unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 antara 6% hingga 26%, tetapi menegaskan saham itu masih diniagakan pada diskaun berbanding nilai asas.
"Secara keseluruhan, kami bersetuju gangguan operasi FPSO Kraken memberi kesan amat ketara kepada prestasi Bumi Armada dalam suku pertama 2026, namun ini bersifat sementara," jelas RHB Research.
Syarikat itu terus memperkukuhkan kedudukan kewangan melalui pengurangan hutang dan pengekalan aliran tunai positif, selain potensi kontrak FPSO Tangkulo di Indonesia. - DagangNews.com








