KUALA LUMPUR 29 April — Unisem (M) Berhad mencatat kerugian bersih teras RM9.5 juta pada suku pertama FY26, jauh tersasar daripada jangkaan pasaran, menurut analisis dua firma penyelidikan.
Mereka berpendapat, peningkatan kos operasi dan tekanan margin menjejaskan prestasi kumpulan itu meskipun hasil naik 9.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM464.7 juta disokong jualan yang positif.
Antaranya, TA Securities menilai prestasi syarikat di bawah jangkaan susulan kos bahan, pelarasan gaji serta pengembangan pekerja yang menyebabkan ia beralih daripada keuntungan kepada kerugian.
"Kami mendapati kerugian Unisem secara mengejut ini turut dipengaruhi oleh faktor bermusim seperti cuti panjang Tahun Baharu Cina dan isu gangguan bekalan wafer daripada pelanggan utama," katanya.
Bagaimanapun, pengurusan kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan hasil antara 15% hingga 20% pada suku kedua (2QFY26), dipacu permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC).
Selain itu ujar TA Securities, pelarasan harga jualan sedang dilaksanakan bagi memindahkan segala kos kepada pelanggan, dengan kesan positif dijangka hanya ketara pada separuh kedua 2026 (2H26).
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menurunkan unjuran pendapatan Unisem sehingga 24.3% bagi FY26 dan menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM3.45, namun mengekalkan saranan ‘beli’.

Sementara itu, RHB Research berpandangan kerugian dicatatkan kumpulan berkenaan hanyalah bersifat sementara, dengan pemulihan ketara dijangka boleh berlaku pada enam bulan terakhir tahun ini.
“Walaupun permintaan kekal kukuh dan sektor semikonduktor berada dalam kitaran menaik, pemulihan hasil dijangka dibawa ke hadapan dengan pemacu utama daripada peningkatan kecekapan," jelasnya.
Di samping itu, projek baharu bermargin tinggi akan menyokong Unisem, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut bagi 1QFY26 disebabkan beberapa faktor.
Antaranya ujar RHB Research, berikutan kos tinggi, kadar penggunaan rendah, serta kesan pertukaran mata wang asing, yang mengakibatkan margin itu jatuh kepada 13.5% berbanding 16.9% sebelumnya.
Berdasarkan perkembangan tersebut, firma itu turut menyemak turun TP kepada RM3.37 daripada RM3.48, tetapi masih mengekalkan saranan ‘neutral’, dengan potensi kenaikan saham sekitar 10%.
"Kami melihat prospek jangka sederhana Unisem masih disokong permintaan sektor AI dan DC, namun tekanan kos serta isu operasi semasa dijangka terus membayangi prestasi kumpulan itu," katanya.
RHB Research bagaimanapun optimis, syarikat berkenaan mampu mencatatkan peningkatkan hasil dalam tempoh terdekat sebelum pemulihan lebih ketara pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com








