Pengambilalihan penuh projek Aquaria KK berpotensi tambah keuntungan Aquawalk sebanyak RM2.6 juta - Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan penuh projek Aquaria KK berpotensi tambah keuntungan Aquawalk sebanyak RM2.6 juta - Apex Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mac - Aquawalk Group Bhd dijangka meningkatkan sumbangan pendapatan jangka panjangnya sebanyak RM2.6 juta susulan keputusan mengambil alih sepenuhnya pemaju projek akuarium marin baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Langkah itu menyaksikan projek Aquaria KK kini akan dibangunkan dan dioperasikan secara milik penuh, berbanding pelan asal sebagai usaha sama (JV) 60:40 dengan Qhazanah Sabah.

 

Dalam satu nota hari ini, Apex Securities berkata peralihan kepada pemilikan penuh membolehkan kumpulan menyatukan 100% pendapatan daripada projek tersebut.

 

“Berdasarkan anggaran kami, ini diterjemahkan kepada keuntungan selepas cukai sebanyak RM6.6 juta apabila projek siap pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2029 (FY29), berbanding RM4 juta di bawah struktur JV sebelum ini,” katanya.

 

Sebelum ini, Aquawalk menandatangani perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan Jesselton Docklands 1 Sdn Bhd bagi ruang seluas 73,054 kaki persegi di The Bedrock untuk pembangunan Aquaria KK.

 

Bagaimanapun, tempoh siap projek itu kini disemak semula kepada FY29 daripada FY28 sebelum ini.

 

Apex Securities melihat projek berkenaan sebagai langkah strategik pertama kumpulan menembusi pasaran Sabah, sekali gus mengukuhkan pelan pengembangan serantau serta memanfaatkan pertumbuhan sektor pelancongan negeri itu.

 

Namun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan bahawa tanpa rakan JV, Aquawalk perlu menanggung komitmen modal lebih tinggi serta berdepan risiko pelaksanaan sepenuhnya, termasuk membiayai keseluruhan kos projek berjumlah RM70.5 juta.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM39.6 juta akan dibiayai menggunakan dana hasil tawaran awam permulaan (IPO), manakala bakinya dijangka diperoleh melalui dana dalaman atau pinjaman.

 

“Dengan kedudukan tunai bersih yang kukuh sebanyak RM180.9 juta, kami tidak melihat isu pembiayaan sebagai kekangan utama kepada kumpulan,” jelasnya.

 

Dalam masa sama, ketiadaan Qhazanah Sabah sebagai rakan strategik juga bermakna Aquawalk tidak dapat memanfaatkan sokongan institusi tempatan, khususnya dalam aspek kelulusan perancangan, pematuhan kawal selia serta koordinasi dengan pihak berkuasa negeri.

 

Selain itu, status Qhazanah sebagai entiti berkaitan kerajaan negeri sebelum ini dilihat berpotensi membantu meningkatkan profil projek sebagai tarikan pelancong utama.

 

Apex Securities berkata Aquawalk bagaimanapun mempunyai rekod prestasi kukuh dalam membangunkan dan mengendalikan aset seumpamanya, termasuk Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket.

 

Firma itu mengunjurkan jumlah pengunjung awal sekitar 360,000 orang setahun dengan peningkatan secara beransur-ansur, manakala kapasiti maksimum dianggarkan mencecah 2.9 juta pengunjung setahun, setanding dengan Aquaria KLCC.

 

Seiring perubahan garis masa projek, Apex Securities turut menyemak semula unjuran pendapatan bagi FY28 untuk mencerminkan kelewatan penyiapan tersebut. - DagangNews.com