Penetapan 31 Jan 2025 untuk aerotrain tidak realistik, perlu patuhi banyak keperluan teknikal - MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penetapan 31 Jan 2025 untuk aerotrain tidak realistik, perlu patuhi banyak keperluan teknikal - MAHB

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN/ Gambar MOHD NAIM FIRDAUS

SEPANG 24 Jan - Tempoh masa 31 Januari yang ditetapkan untuk perkhidmatan aerotrain beroperasi semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah tidak realitik, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani.

 

Ini disebabkan pihak pengurusan perlu mematuhi banyak keperluan teknikal, dan oleh itu tempoh aerotrain dijangka beroperasi semula pada suku kedua 2025.

 

 

 

Kereta api itu kini sedang menjalani 80 ujian kritikal termasuk ujian dinamik, ujian antara muka dan ujian integrasi sistem (SIT) bagi memastikan sistem pengangkutan itu berjalan dengan lancar dan tidak akan mengalami sebarang kerosakan. 

 

 

MOHD IZAN GHANI
                              MOHD IZANI GHANI - Gambar DagangNews/ MOHD NAIM FIRDAUS

 

 

Mohd Izani memberi jaminan penyambungan semula aerotrain KLIA tidak akan ditangguhkan selepas Jun 2025 dan kos projek kekal pada RM456 juta.

 

Projek aerotrain itu ditangguhkan beberapa kali dengan tarikh operasi yang disasarkan sebelum ini ialah 31 Januari 2025.

 

"Garis masa yang diberikan ketika itu adalah overambitious (tidak realistik).

 

"Pasukan kami telah menjalankan ujian sejak September hingga Oktober 2024 dan kami menjangkakan percubaan tanpa kegagalan aerotrain akan dijankan pada April 2025. 

 

 

KLIA

 

KLIA

 

 

"Pada percubaan pertama, kami akan memastikan aerotrain berjaya dikendalikan dengan lancar pada jarak lebih 2,000 kilometer tanpa sebarang kegagalan," kata beliau.

 

Mohd Izani berkata, penilaian ini dijalankan untuk memastikan semua ciri keselamatan, operasi dan prestasi memenuhi keperluan pengawalseliaan yang ketat.

 

"Selepas menjalankan semua ujian, kami mesti mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan sebelum aerotrain itu boleh kembali beroperasi sepenuhnya," katanya semasa taklimat kepada media mengenai perkembangan terkini projek aerotrain di KLIA hari ini.

 

Berbanding dengan aerotrain yang pertama dikendalikan pada 1998, tren baharu ini dilengkapi dengan sebuah lagi gerabak bagi menampung 270 penumpang bagi setiap perjalanan pergi dan balik.

 

Sementara itu, MAHB juga akan mengendalikan pengesahan aerotrain secara individu dan kemudiannya disepadukan dengan keseluruhan infrastruktur termasuk, trek, suis, isyarat, sistem pengagihan kuasa dan peralatan depot. 

 

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyuarakan kekecewaan kerana perkhidmatan aerotrain tidak dapat dimulakan seperti dijadualkan pada 31 Januari.

 

"Kontraktor masih menjalankan ujian dinamik, diikuti ujian sistem sepenuhnya dan integrasi sistem. Selepas itu, ia perlu melalui ujian terakhir oleh pihak berkuasa sebelum disahkan untuk operasi," kata beliau.

 

Perkhidmatan aerotrain di KLIA mula dihentikan sepenuhnya pada 2 Mac 2023 atas faktor keselamatan selepas insiden aerotrain terkandas membabitkan 114 penumpang.

 

Dalam insiden itu, sebuah aerotrain telah terhenti secara tiba-tiba di atas landasan dan sebuah lagi aerotrain yang sepatutnya digunakan bagi membantu membawa penumpang turut mengalami masalah teknikal, sehingga menyebabkan kesemua 114 penumpang terpaksa berjalan kaki sejauh 400 meter ke terminal satelit.

 

Ia merupakan insiden kedua penumpang terpaksa berjalan di atas landasan disebabkan masalah teknikal tren berkenaan, sejak mula beroperasi 25 tahun lalu.

 

Insiden aerotrain tergendala itu bukanlah yang pertama berlaku, sebelum ini pada 27 Mei 2016, ia tergendala selama dua jam berikutan kerja penyenggaraan.

 

Pada 25 Disember 2017, tren itu tergendala selama beberapa jam dan adalah kali ketiga masalah itu berlaku untuk tahun itu sahaja.- DagangNews.com