Nota Editor: MASVERSE telah meminta agar namanya dipadam daripada laporan ini dan kami bersetuju menurutinya atas dasar keamanan. Asalnya nama MASVERSE sememangnya dipetik dalam nota penyelidikan Maybank IB dan kami sekadar melaporkannya. Kami tiada niat atau apa-apa agenda bila memetik MASVERSE dalam laporan asal. Harap maklum. - 5 Julai 2025
KUALA LUMPUR 4 Julai – Zetrix AI Bhd, penyedia infrastruktur rantaian blok nasional, dijangka mencatat lonjakan hasil yang kukuh berikutan pelaksanaan sistem pengenalan MyDigital ID, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, sistem pengenalan digital itu sudah mula menjana pendapatan kepada Zetrix AI dengan 40 sen sumbangan bagi setiap transaksi untuk pengesahan maklumat.
"Antara pihak yang menggunakan perkhidmatan ini termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, syarikat media sosial, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pemula seperti iTrace dan Cokeeps.
"Kami menganggarkan Zetrix AI akan meraih sekitar RM5 juta hasil daripada pengesahan 'Verifiable Credential' dalam suku kedua tahun kewangan 2025.
"Jumlah itu dijangka berganda dalam suku ketiga 2025," kata firma penyelidikan itu.
Bagi tahun kewangan berakhir 2025 (FY25), firma itu mengunjurkan hasil berkaitan VC akan melepasi RM40 juta, berdasarkan unjuran pendapatan semasa.
Dalam masa sama, MaybankIB menjangkakan pertumbuhan hasil akan terus meningkat sebaik sahaja aplikasi My Superapp dilancarkan secara rasmi pada akhir bulan ini.
"Aplikasi tersebut membolehkan kira-kira 40 juta pelawat asing ke Malaysia mendigitalkan passport dan lesen memandu mereka untuk kegunaan dalam negara setiap tahun.
"Zetrix AI merancang mengenakan RM100 bagi setiap permohonan.
"Meskipun ia bersifat pilihan, potensi hasil adalah besar walaupun hanya sebahagian kecil pelawat asing memilih untuk melanggan kemudahan ini," katanya.
Secara keseluruhan, MaybankIB mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga 2027 (FY27).
“Kami mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham ini, namun menyemak turun harga sasaran kepada RM1.45 daripada RM2.00 sebelum ini.
"Penilaian semasa kami juga lebih mencerminkan peralihan model perniagaan Zetrix AI daripada penyedia eksklusif perkhidmatan kerajaan-ke-kerajaan kepada pemaju blockchain nasional," tambahnya. - DagangNews.com








