Pendapatan sektor semikonduktor berisiko susut 2.7% jika harga minyak global cecah AS$100 – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan sektor semikonduktor berisiko susut 2.7% jika harga minyak global cecah AS$100 – TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April – Pendapatan sektor semikonduktor berisiko terjejas sekitar 2.7% sekiranya harga minyak mentah global meningkat sehingga AS$100 (RM394.81) setong, menurut TA Securities.


Perkembangan negatif tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, sekali gus dikhuatiri menimbulkan kebimbangan terhadap isu tekanan kos walaupun permintaan semasa ketika ini adalah kekal kukuh.


Tambahnya berdasarkan situasi, kenaikan harga tenaga berpotensi meningkatkan kos logistik dan bahan mentah, yang akhirnya memberi kesan rantaian lebih luas kepada margin pemain industri itu sendiri.


"Jualan semikonduktor global setakat ini stabil iaitu AS$88.8 bilion (RM350 bilion) pada Februari 2026, iaitu naik 7.6% bulan ke bulan (MoM) atau 61.8% tahun ke tahun (YoY)," kata TA Securities dalam notanya.


Keadaan ini ujar firma penyelidikan tersebut menandakan pertumbuhan selama 28 bulan berturut-turut, didorong pembangunan infrastruktur pusat data (DC), serta pelaburan kecerdasan buatan (AI).


Selain itu jelasnya lagi, keperluan cip yang berprestasi tinggi dan memori jalur lebar tinggi turut menyokong permintaan kepada pelbagai produk teknologi berasaskan kepada semikonduktor.

 

Semikonduktor_DagangNews


TA Securities melihat trend perbelanjaan global bagi peralatan fabrikasi wafer 300mm dijangka meningkat kepada AS$133 bilion (RM525 bilion) pada 2026 dan terus berkembang pada tahun depan.


"Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan ke atas cip AI serta usaha negara membangunkan rantaian bekalan semikonduktor sendiri bagi mengelakkan kebergantungan tinggi kepada pihak luar," katanya.


Walaupun prospek kekal positif, firma itu menegaskan beberapa risiko utama antaranya kenaikan kos memori yang boleh menekan permintaan, dan peningkatan kos logistik akibat konflik geopolitik.


Pada masa sama ujar TA Securities, risiko margin kemungkinan besar boleh terhakis meskipun sebahagian kos berkenaan boleh dipindahkan kepada pelanggan untuk mengurangkan kerugian tinggi.


Justeru, ia mengekalkan penarafan 'neutral', dengan saranan 'beli' Inari Amertron Berhad dan Unisem Berhad, serta 'pegang' Malaysian Pacific Industries Berhad dan Elsoft Research Berhad.


"Secara keseluruhan, walaupun gelombang AI terus menyokong pertumbuhan industri, risiko kenaikan kos akibat harga minyak dan faktor geopolitik kekal menjadi cabaran utama. - DagangNews.com