Pendapatan Pantech Global diyakini cecah lebih RM67 juta disokong oleh perkembangan industri pemasangan paip - Rakuten Trade  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Pantech Global diyakini cecah lebih RM67 juta disokong oleh perkembangan industri pemasangan paip - Rakuten Trade 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Pantech Global Bhd dipercayai meraih pendapatan sebanyak RM67.4 juta untuk tahun kewangannya 2026 (FY26) dan RM74.9 juta bagi FY27, didorong oleh perkembangan industri pemasangan paip keluli dan paip.

 

Rakuten Trade berkata, pertumbuhan industri didorong oleh peningkatan pembangunan infrastruktur global, peningkatan permintaan tenaga, dan pengembangan sektor perindustrian.

 

"Di Malaysia, saiz pasaran industri paip dikimpal keluli tahan karat bernilai RM989.8 juta pada 2023, dengan Pantech memegang 16% bahagian pasaran dan 66% daripada pasaran eksport kelengkapan paip kimpalan punggung," katanya.

 

Firma itu berkata, Pantech mempunyai dasar dividen dengan nisbah pembayaran 40% sehingga 50%.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan Pantech membayar dividen sebanyak 4 sen dan 4.4 sen, masing-masing pada FY26 dan FY27, diterjemahkan kepada hasil menarik sebanyak 5.8% sehingga 6.5%.

 

"Kedudukan tunai bersih Pantech yang kukuh memastikan kunci kira-kiranya kekal teguh selepas tawaran awam permulaan IPO," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pantech mengembangkan segmen paip dikimpal keluli tahan karat, didorong oleh peningkatan permintaan daripada pelanggan antarabangsa, khususnya di Eropah dan Amerika.

 

Firma penyelidikan itu menekankan Pantech bakal mendapat manfaat daripada keupayaan pembuatan dalaman dengan memastikan mematuhi peraturan ketat terhadap piawaian industri global seperti American Society for Testing and Materials (ASTM) dan American Society of Mechanical Engineers (ASME).

 

Pantech menyasar untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran di fasiliti Pasir Gudangnya, meningkatkan pengeluaran paip dikimpal keluli tahan karat daripada 23,850 tan kepada 26,850 tan setahun.

 

Sementara itu, ibu pejabat dan kilang korporat baharu akan ditubuhkan menjelang 2028, menampilkan tingkat pengeluaran baharu, gudang dan penginapan pekerja.

 

Rakuten Trade memberikan panggilan "beli" dengan menetapkan harga sasaran (TP) sebanyak 87 sen sesaham - DagangNews.com