KUALA LUMPUR 28 April - Prospek jualan Notion Vtec Bhd kini lebih suram, berikutan jangkaan penurunan permintaan barangan elektronik pengguna yang juga produk penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research, ia susulan pelaksanaan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Pendapatan utama Notion Vtec datang dari segmen elektronik dan elektrik, pemacu cakera keras (HDD) dan automotif yang menyumbang masing-masing 38.9%, 27% dan 23.9% daripada jualan syarikat.
"Permintaan barangan elektronik pengguna dijangka menurun berikutan pelaksanaan tarif AS," katanya dalam satu nota kajian.
Notion Vtec, yang menghasilkan sebahagian besar pendapatan daripada perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk satu pelanggan utama, mungkin tidak dapat mengelak daripada kesan kelembapan ekonomi yang lebih meluas.
HLIB berkata, pelanggan utama yang tidak dinamakan itu kekal penting dalam perjalanan pertumbuhan Notion Vtec, dengan rantaian bekalan tertumpu di Asia Tenggara dan China.
Katanya, produk yang dihasilkan adalah produk premium yang sangat terjejas oleh perubahan harga dan gangguan permintaan akibat tarif baharu tersebut.
Namun, menurut HLIB, Notion Vtec masih optimis dengan usaha dalam perniagaan penutup motor untuk pelanggan, yang dijangka dapat meningkatkan jualan EMS sebanyak 25% hingga 30% daripada inisiatif tersebut.
Bagaimanapun, pengenalan tarif oleh AS mungkin akan menjejaskan prospek pertumbuhan bagi usaha baharu itu.
"Pengeluar HDD utama dijangka menerima pesanan yang lebih perlahan, manakala permintaan dari pelanggan perusahaan dan penyedia perkhidmatan awan besar juga mungkin berkurang," ujarnya.
HLIB berkata, memandangkan AS berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat tarif dan kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat, pelaburan dalam teknologi maklumat perusahaan dijangka menghadapi kekangan dalam jangka pendek. - DagangNews.com








