KUALA LUMPUR 28 Feb - Kinergy Advancement Bhd (KAB) meraih hasil sebanyak RM244.8 juta, mewakili lonjakan 22.8% pada FY24 dipacu oleh pertumbuhan segmen rumusan tenaga lestari (SES) yang kukuh, menggandakan hasil kepada RM123.5 juta berbanding RM61.7 juta yang dicapai setahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia tenaga mampan itu berkata, prestasi SES mengukuhkan lagi kedudukan KAB dalam pasaran sekaligus memanfaatkan permintaan projek tenaga mampan yang merangkumi inisiatif solar, biogas dan tenaga hidro di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.
Segmen kejuruteraan kumpulan juga mencatat prestasi kukuh, menyumbang pendapatan RM119.4 juta.
Keuntungan bersih KAB untuk FY24 berjumlah RM21.5 juta, mencerminkan penjanaan pendapatan yang konsisten dipacu oleh pelaburan strategik dalam projek tenaga baharu dan pembangunan infrastruktur.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, prestasi kewangan pada FY24 mampu mengukuhkan inisaitif kumpulan sambil menyelaraskan aspirasi negara dalam pertumbuhan tenaga mampan dan memnuhi matlamat peralihan tenaga.
"KAB komited untuk pengembangan dengan visi yang jelas, bukan sahaja untuk memacu inovasi dalam ekosistem perniagaan melalui rumusan tenaga termaju tetapi juga mengekalkan momentum dalam skala operasi kami, disokong oleh pengiktirafan industri untuk kecemerlangan operasi kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil Kumpulan mengekalkan trajektori menaiknya pada suku keempat FY24 (4QFY24) mencatat RM79.4 juta, menaik 26.1% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, keuntungan bersih bagi suku tersebut mewakili kenaikan dua kali ganda kepada RM4.9 juta, berbanding RM2.5 juta pada 4QFY23.
Sementara itu, segmen kejuruteraan mencatatkan peningkatan 50.5% YoY kepada RM40.6 juta, disokong oleh pelaksanaan projek yang mantap, manakala segmen SES kekal menaik, menyumbang RM37.2 juta dalam hasil. - DagangNews.com








