KUALA LUMPUR 28 Feb - Pertumbuhan pendapatan IJM Corperation Bhd diramal semakin kukuh didorong oleh hasil merentasi semua sektor utama, terutamanya segmen pembinaan, kata PublicInvest.
Untung bersih IJM berkembang 12.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM113.3 juta pada 3QFY25, menjadikan untung bersih kumulatif 9MFY25 mencecah lebih RM124 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan IJM memenuhi anggaran konsensusnya tetapi berada di bawah jangkaannya, masing-masing menyumbang 72.1% dan 67% daripada ramalan tahun penuh.
"Prestasi kewangan kumpulan pada suku itu disebabkan oleh kelemahan dalam bahagian pembuatan dan infrastrukturnya, serta perbelanjaan cukai tinggi.
"Oleh itu, kami menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 sehingga FY27 pada purata 6.7% mengambil kira kadar cukai berkesan yang lebih tinggi dan daya pengeluaran kargo lebih rendah.
Firma penyelidikan itu berkata, IJM akan terus memberi tumpuan kepada penyiapan projek pembinaan.
Setakat ini, IJM telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM2.7 bilion, terutamanya daripada pusat data, kemudahan pembuatan elektrik dan lektronik (E&E) dan projek gudang logistik.
Ini mewakili 54% daripada sasaran penambahan buku pesanan FY25 sebanyak RM5 bilion.
PublicInvest berkata, IJM berada pada kedudukan yang baik untuk prestasi yang lebih baik pada FY25 dibantu oleh buku pesanan semasa yang kukuh.
Sementara itu, firma tersebut mengekalkan saranan "outperform" ke atas saham IJM dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.80 daripada RM4.20 sesaham.
Dalam nota kajian berasingan, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menurunkan unjuran untung bersih FY25 sehinga FY27 IJM sebanyak 12% dan menurunkan anggaran jumlah kontrak pembinaan dan penjualan hartanah pada FY25.
"Kami menyukai IJM kerana kepelbagaian projek pembinaan dalam sektor hartanah, pelabuhan dan jalan tol. Oleh itu, kami mengekalkan saranan "beli" ke atas saham IJM dengan menurunkan harga sasaran (TP) sebanyak 25 sen kepada RM3.35 sesaham," katanya. - DagangNews.com








