Pendapatan Duopharma berpotensi meningkat kepada RM88.4 juta pada FY25 didorong harga bahan farmaseutikal aktif lebih rendah - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Duopharma berpotensi meningkat kepada RM88.4 juta pada FY25 didorong harga bahan farmaseutikal aktif lebih rendah - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Pendapatan Duopharma Biotech Bhd berpotensi meningkat sebanyak 43.1% kepada RM88.4 juta pada FY25 didorong harga bahan farmaseutikal aktif (API) yang lebih rendah, ringgit yang kukuh serta hasil jualan lebih tinggi.

 

TA Securities berkata, harga bahan farmaseutikal aktif ketika ini mnyusut sekurang-kurangnya 10% berbanding tahun lalu.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka menerima manfaat daripada penyusutan harga itu bermula pada suku pertama 2025 selepas inventori lama habis.

 

"Duopharma boleh menjimatkan kira-kira RM14 juta untuk setiap 5% perubahan dalam harga API. 

 

"Selain itu, kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada ringgit yang lebih kukuh kerana kontrak Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) baharu adalah berdasarkan kadar pertukaran RM4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berbanding RM4.20 pada 2017, di bawah APPL lama," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari aspek pengembangan perniagaan, kumpulan itu telah mula mengendalikan kemudahan pembuatan Dos Pepejal Oral K3 yang baru siap di Klang, yang mempunyai kapasiti 50% lebih daripada K1, menyediakan skop untuk meningkatkan pengeluaran.

 

Katanya, kemudahan K3 ditubuhkan bagi menggantikan kebanyakan produk yang dikeluarkan di kilang K1, serta menggantikan K1 yang berusia, yang dibina pada tahun 1980-an.

 

"Kami faham sesetengah produk masih menjalani kumpulan pengesahan, jadi K3 dan K1 dijangka terus bertindih sehingga separuh pertama 2025. Selepas itu, kami menjangkakan K3 akan beroperasi pada kadar penggunaan 60% pada FY25," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.62 sesaham. - DagangNews.com