KUALA LUMPUR 18 Mei – Cnergenz Berhad mencatatkan hasil meningkat 43.55% kepada RM27.51 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) berbanding RM19.16 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, pertumbuhan pendapatan secara ketara ini didorong terutamanya oleh peningkatan jualan mesin dan peralatan 'standalone' Surface Mount Technology (SMT) sepanjang tiga bulan tersebut.
Jelas kumpulan berkenaan, sektor jualan mesin tersebut merupakan penyumbang utama dengan nilai mencecah RM26.01 juta, yang merangkumi kira-kira 94.88% daripada keseluruhan hasil syarikat itu.
"Bagaimanapun, di sebalik kenaikan hasil itu, Cnergenz mencatatkan kerugian bersih RM852,000 bagi 1QFY26, berbanding keuntungan bersih RM84,000 pada sebelumnya," tambahnya kepada Bursa Malaysia.
Katanya, kemerosotan kepada prestasi rugi tersebut disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih rendah berikutan perubahan dalam komposisi campuran produk syarikat dalam tempoh berkenaan.
Mengenai prospek masa depan, kumpulan kekal positif dengan sokongan buku tempahan berjumlah kira-kira RM82 juta setakat 31 Mac 2026, yang dijangka dipenuhi sepenuhnya dalam tahun kewangan 2026.
Cnergenz juga optimis terhadap peningkatan permintaan peralatan SMT di Asia Tenggara yang dipacu oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta keperluan pusat data (DC) untuk papan pelayan termaju.
"Kumpulan ini berusaha bertindak sebagai rakan kongsi bagi stesen penguji AI litar dalam talian untuk pengeluar peralatan ujian automatik multinasional dari Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Selain itu, syarikat berkenaan ujarnya menerusi makluman tersebut, sedang mengembangkan pemasaran rumusan kilang pintar (SFS) yang akan memberi tumpuan kepada sistem robotik dan automasi pintar.
Pada Februari 2026, Cnergenz turut mengukuhkan portfolio dengan menubuhkan anak syarikat baharu, Cnergenz AgTech Sdn Bhd bagi menceburi sektor pertanian pintar melalui teknologi AI. - DagangNews.com
Pendapatan Cnergenz meningkat 44% kepada RM28 juta bagi 1QFY26 disokong jualan mesin

Oleh AMREE AHMAD







