KUALA LUMPUR 7 Mac - BM Greentech Bhd berpotensi mencatatkan pendapatan lebih kukuh didorong pengembangan margin daripada projek biotenaga tempatan serta perkhidmatan penyelenggaraan dan peningkatan jualan untuk dandang bagi pelanggan sedia ada.
Phillip Capital berkata, pengurusan menyatakan, 20% daripada hasil 9MFY25 adalah berkaitan dengan projek penyelenggaraan dan naik taraf, kerana pelanggan semakin menumpukan pada meningkatkan kecekapan dan meningkatkan kapasiti dandang.
"Dengan penguasaan pasaran 60% hingga 70% di Malaysia dan 30% di Indonesia, kumpulan itu berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pasaran yang lebih besar," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil perniagaan solar BM Greentech meningkat 76% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM62 juta pada 3QFY25, walaupun untung kasa merosot sebanyak 36% kepada RM3.1 juta, disebabkan pelunasan tambahan sebanyak RM1.4 juta daripada pemerolehan Plus Xnergy.
Katanya, tidak termasuk itu, untung kasar yang dinormalkan berada pada RM4.5 juta (2QFY25: RM4.9 juta), diterjemahkan kepada margin untung kasar sebanyak 7.3%.
Plus Xnergy kekal fokus untuk melaksanakan dua projek CGPP yang sedang berjalan, yang dijangka memacu prestasi FY26 yang lebih kukuh.
"Secara keseluruhan, segmen solar terus mendapat manfaat daripada permintaan yang kukuh merentas pasaran kediaman dan komersial & perindustrian, didorong dasar kerajaan yang menyokong.
"Ini termasuk Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Skim Insentif Solar untuk Rakyat (Solaris) dan program Penggunaan Sendiri (Selco) yang baru-baru ini menaikkan had kapasiti permintaan sebanyak 85%," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pengecualian keperluan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) mandatori di bawah Selco hingga 2026 memberikan cabaran tambahan untuk pertumbuhan.
"Kami kekal positif terhadap prospek perniagaan solar, dengan peluang EPCC yang besar melalui LSS5 (2GW) yang sedang berjalan dan LSS5+ (2GW) dan LSS6 yang baru diperkenalkan.
"Kami menjangkakan BM Greentech akan memperoleh bahagian yang lebih besar daripada projek LSS, dengn lebih banyak anugerah dijangka dalam separuh kedua 2025," katanya.
Phillip Capital terus kumpulan itu kerana prospek pertumbuhannya yang menarik, pasaran yang besar didorong oleh inisiatif NETR dan daya tarikan sebagai syarikat rumusan tenaga yang berfokuskan ESG.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.65 sesaham," katanya. - DagangNews.com








