KUALA LUMPUR 23 Jun – Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) melabur sebanyak AS$7.88 juta (RM37 juta) bagi menambah empat unit kren Rubber-Tyred Gantry (RTG) hibrid baharu daripada Mitsui E & S Co. Ltd, Jepun, dalam usaha mempertingkat kecekapan operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar.
Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan RTG hibrid di Penang Port sebanyak 11 unit, daripada keseluruhan 31 kren RTG yang digunakan di pelabuhan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, pelaburan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk mewujudkan pelabuhan lebih cekap, hijau, dan mampan bagi memenuhi keperluan logistik Pulau Pinang dan pertumbuhan kawasan setempat.

"Ketibaan empat unit kren RTG hibrid ini memberi impak positif kepada Penang Port dan komuniti setempat, serta mengukuhkan kecekapan operasi dan mewujudkan persekitaran pelabuhan lebih lestari.
"Dengan penambahan ini, kami yakin dapat menambah baik pengendalian kontena serta mengurangkan jejak karbon demi masa depan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
Penang Port memulakan penggunaan kren RTG hibrid dengan tiga unit pada 2019, sebelum menambah empat lagi pada 2020.

Kren RTG hibrid menggunakan gabungan kuasa diesel dan bateri elektrik, yang membolehkan operasi pemunggahan dan penyusunan kontena dilakukan dengan ketepatan tinggi serta impak alam sekitar yang lebih rendah.
Dengan penambahan empat unit baharu itu, Penang Port menjangkakan pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 50%, sekali gus menjana penjimatan kos operasi berbanding penggunaan kren diesel sepenuhnya.
Inisiatif itu juga selari dengan komitmen Penang Port terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang merangkumi pengurangan jejak karbon, pengurusan sisa lebih cekap dan penggunaan sumber yang optimum dalam operasi harian.- DagangNews.com








