KUALA LUMPUR 28 Mac - Pengendali bas HI Mobility Bhd, memulakan dagangan hari pertama di Pasaran Utama dengan kenaikan sederhana, menamatkan siri kegagalan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat sebelum ini di Bursa Malaysia.
HI Mobility dibuka pada harga RM1.27 pada pagi ini, berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu RM1.22 sesaham, sebelum meningkat setinggi RM1.33.
Saham itu diniagakan pada RM1.28 pada pukul 9.05 pagi, selepas hampir 15 juta saham bertukar tangan.
Pada harga terakhir RM1.33, syarikat yang berpangkalan di Johor itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM665 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, pihaknya komited untuk mencipta nilai yang lebih besar bagi semua pihak berkepentingan dalam syarikat seiring dengan penyenaraian berkenaan.
"Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pengangkutan lestari, kami berhasrat menyediakan rumusan pengangkutan yang berdaya cipta," katanya pada majlis penyenaraian syarikat tersebut seperti laporan The Edge.
IPO itu berjaya mengumpul RM115.9 juta untuk HI Mobility dengan bahagian runcit yang diterima melebihi enam kali ganda dan hasilnya akan digunakan untuk menambah bilangan bas, peralihan ke teknologi elektrik, membina stesen pengecasan kenderaan elektrik dan meningkatkan teknologi.
Sebahagian lagi akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja, termasuk pengambilan pemandu baharu dan menampung kos perbelanjaan penyenaraian.
Syarikat berkenaan merupakan satu-satunya pengendali bas Malaysia yang menyediakan perkhidmatan merentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, memudahkan perjalanan melalui antara pintu sempadan darat yang paling sibuk di dunia.
Beroperasi di bawah jenama Causeway Link, HI Mobility kini mengendalikan sejumlah 683 bas, dengan 53 daripadanya adalah bas elektrik, meliputi 124 laluan.
IPO itu juga berjaya mengumpul RM42.7 juta untuk pemegang saham penjual, Lim Han Weng, yang juga merupakan bapa kepada Chern Chuen dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Yinson Holdings Bhd.
Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama IPO, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal. - DagangNews.com








