KUALA LUMPUR 26 Feb - Penamatan mendadak perkhidmatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Malayan Banking Bhd, Khalijah Ismail perlu diumumkan serta-merta kerana sifat maklumat yang sensitif terhadap pasaran.
Tanpa memberikan sebarang maklumat baharu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penyingkiran Khalijah itu dibuat berikutan siasatan berhubung ketidakpatuhan terhadap keperluan dan proses dalaman.
"Kami percaya ia adalah masa yang sensitif harga dan maklumat sensitif pasaran. Sebaik sahaja keputusan dibuat, kami perlu mengumumkannya dengan segera," katanya semasa sesi penerangan keputusan kewangan Maybank, hari ini.
Khairussaleh menjawab soalan mengenai masa pengumuman yang dibuat beberapa hari sebelum pengumuman keputusan suku tahunannya.
Pada 17 Februari 2025, Maybank mengumumkan penyingkiran Khalijah berkuat kuasa serta-merta. Kumpulan perbankan terbesar Malaysia mengikut saiz asset itu bagaimanapun, tidak memberikan butiran lanjut kecuali mengatakan bahawa ia adalah beradasarkan "siasatan dalaman."
ARTIKEL BERKAITAN: Pemberhentian Khalijah: Tiada isu salah laku kewangan, rugi atau kawal selia
Syarikat itu kemudiannya memberitahu penganalisis pada taklimat itu, tidak ada pemalsuan akaun kewangan sambil menegaskan, semua penyata kekal benar dan adil.
Siasatan dalaman itu tidak dicetuskan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang dan kekal sebagai insiden terpencil, menurut beberapa penganalisis yang menghadiri taklimat itu. Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengawal selia sektor perkhidmatan kewangan, dimaklumkan mengenai keputusan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Khalijah Ismail mahu saman Maybank atas penamatan jawatannya sebagai CFO Kumpulan
"Tolong faham, maklumat yang ingin dikongsikan adalah sangat terhad seperti yang dinasihatkan peguam kami.
"Akaun itu "jelas diaudit oleh juruaudit luar kami dan seterusnya tiada kerugian kewangan yang dialami oleh bank," kata Khairussaleh.
Khalijah, yang telah bekerja di Maybank selama lebih 33 tahun berkata, dia telah diberhentikan kerja dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap "keputusan bank itu dan melindungi reputasinya".
Dalam pada itu, bank itu kini sedang mencari pengganti dan sebelum ini telah menamakan Malique Firdaus Ahmad Sidique daripada cabang perbankan Islamnya sebagai pemangku CFO.- DagangNews.com








