Pemulihan berterusan perniagaan jadi pemangkin penilaian semula Pos Malaysia, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan berterusan perniagaan jadi pemangkin penilaian semula Pos Malaysia, kata Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pemulihan berterusan perniagaan pos serta pengurangan pemain logistik yang tidak rasional dilihat sebagai pemangkin utama kepada penilaian semula Pos Malaysia Bhd, walaupun prospek perniagaan teras syarikat itu masih berdepan cabaran, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Underperform’ terhadap Pos Malaysia dengan harga sasaran (TP) RM0.14, berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF), kadar WACC sebanyak 6.2% dan kadar pertumbuhan terminal 0%.

 

Pos Malaysia kekal mencatatkan kerugian pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), walaupun kerugian bersihnya mengecil sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Kerugian bersih kumpulan susut kepada RM43.46 juta daripada RM45.42 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 9% kepada RM481.3 juta berbanding RM441.57 juta,

 

Menurut Kenanga, penilaian semasa masih mengambil kira cabaran yang dihadapi perniagaan mel konvensional syarikat dalam era digital, selain persaingan sengit dalam segmen kurier.

 

Pemain baharu seperti J&T Express dan Ninja Van terus memberi tekanan melalui strategi harga agresif bagi meningkatkan bahagian pasaran.

 

"Pada masa sama, langkah pengurangan kos Pos Malaysia dilihat masih belum mencukupi untuk mengimbangi kelemahan hasil perniagaan teras," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah penutupan kesemua 50 cawangan POS SHOP di seluruh negara pada Julai 2026 selepas beroperasi selama tiga tahun.

 

Kenanga menjangkakan langkah tersebut mampu menghasilkan penjimatan kos sekitar RM5 juta hingga RM10 juta bagi tempoh tiga tahun akan datang, yang telah dimasukkan dalam unjuran mereka.

 

Fokus kepada pengoptimuman rangkaian

Menurut Kenanga lagi, Pos Malaysia kini berhasrat memberi tumpuan kepada pengoptimuman rangkaian bagi mengurangkan kos penghantaran dan perkhidmatan secara menyeluruh, selain membezakan perkhidmatan bagi mempercepat pertumbuhan bahagian pasaran segmen bungkusan.

 

Segmen bungkusan dilihat mempunyai prospek lebih baik berbanding perniagaan mel tradisional yang semakin terjejas akibat pendigitalan, selain menawarkan kadar perkhidmatan yang lebih kompetitif.

 

Usaha pengoptimuman turut merangkumi peralihan kepada rangkaian yang dikendalikan ejen.

 

Namun, firma itu menegaskan bahawa pemulihan Pos Malaysia masih bergantung kepada keupayaan syarikat menangani kemerosotan struktur perniagaan mel konvensional serta memastikan langkah pengoptimuman kos dapat mengatasi tekanan terhadap hasil teras.

 

Pada masa sama, prestasi segmen logistik dan penerbangan yang semakin baik memberikan sedikit sokongan kepada kumpulan.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap Pos Malaysia memandangkan cabaran struktur perniagaan pos dan persaingan dalam pasaran kurier masih belum selesai. - DagangNews.com