Pemotongan kadar faedah AS dijangka pacu aliran dana, sila beli saham Bursa Malaysia sekarang – UOB Kay Hian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemotongan kadar faedah AS dijangka pacu aliran dana, sila beli saham Bursa Malaysia sekarang – UOB Kay Hian

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Okt - Pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dijangka merancakkan aliran masuk dana ke Malaysia serta menyokong momentum dagangan, kata UOB Kay Hian sambil menasihati pelabur supaya membeli saham Bursa Malaysia Bhd mulai sekarang!

 

Firma penyelidikan itu berkata perkembangan terkini menandakan berakhirnya kitaran pengetatan dasar monetari AS yang bermula pada 2022, sekali gus mengukuhkan sentimen pelaburan berisiko (risk-on).

 

Titik perubahan dasar seperti ini, menurutnya, secara historikal telah membawa kepada peningkatan aliran masuk asing ke dalam mata wang dan aset berisiko pasaran sedang pesat membangun.

 

“Bursa Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada potensi aliran masuk dana asing, disokong oleh prestasi yang agak ketinggalan dan prospek pendapatan yang stabil, yang berupaya meningkatkan jumlah dagangan harian purata,” kata UOB Kay Hian.

 

UOB Kay Hian turut menaik taraf penarafan Bursa Malaysia kepada “beli”, menjadikannya antara segelintir penganalisis yang optimistik terhadap saham tersebut, serta menaikkan harga sasarannya kepada RM9.80 — tertinggi dalam kalangan penganalisis yang membuat liputan terhadap pengendali bursa itu.

 

Namun begitu, sentimen pasaran kekal berhati-hati dengan 11 daripada 18 penganalisis mengekalkan saranan “pegang”.

 

Harga saham Bursa Malaysia meningkat kurang daripada 3% sepanjang sebulan lalu, namun masih susut hampir 8% sejak awal tahun. Purata jumlah dagangan harian di Bursa Malaysia meningkat kepada RM2.9 bilion setakat bulan ini, berbanding RM2.3 bilion pada suku April-Jun.

 

Minggu lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell, berkata dalam ucapannya bahawa pengurangan saiz kunci kira-kira bank pusat itu mungkin menghampiri penghujungnya. Beliau turut menegaskan Fed masih terbuka untuk melaksanakan lebih banyak potongan kadar faedah selepas pengurangan pada September lalu.

 

“Kami menjangkakan sentimen pasaran ekuiti akan bertambah kukuh menjelang 2026, disokong oleh dasar monetari yang lebih akomodatif, tekanan inflasi yang semakin reda, dan prospek makroekonomi yang mampan,” kata UOB Kay Hian.

 

Firma itu turut memaklumkan, ia telah menaikkan unjuran pendapatan Bursa Malaysia bagi mengambil kira aktiviti dagangan yang lebih rancak daripada jangkaan, serta meningkatkan gandaan pendapatan hadapan kepada kira-kira 26 kali berbanding purata 23 kali, “bagi mencerminkan peringkat awal potensi kitaran kenaikan baharu.” - DagangNews.com