Pemiutang Sapura Energy luluskan pelan penstrukturan semula hutang RM12.3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemiutang Sapura Energy luluskan pelan penstrukturan semula hutang RM12.3 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Feb - Pemiutang Sapura Energy Bhd dan 22 anak syarikatnya, meluluskan pelan penstrukturan semula hutang yang dicadangkan oleh kumpulan itu sebagai sebahagian daripada rancangan penyusunan semula kewangannya.

 

Ia dimuktamadkan dalam 52 mesyuarat berasingan atas perintah mahkamah antara 21 Februari 2025 hingga 27 Februari 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, kumpulan itu percaya, langkah tersebut menawarkan penyelesaian adil dan saksama kepada pemiutang sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memelihara ekosistem tenaga di Malaysia.

 

"Kami berterima kasih atas sokongan semua pemiutang terhadap usaha penstrukturan semula hutang Sapura Energy. 

 

"Walaupun menerusi proses yang panjang, mereka tetap komited terhadap pemulihan berkenaan dan kami sangat menghargai kepercayaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelan penyusunan semula berkenaan akan menjadi sah apabila Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah kelulusan mengikut Seksyen 366(4) Akta Syarikat 2016 dan perintah itu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

Di bawah pelan tersebut, pemiutang yang mempunyai tuntutan keutamaan akan dibayar sepenuhnya dalam bentuk tunai dalam tempoh 90 hari selepas pelan penyusunan semula berkuat kuasa.

 

Tarikh berkuat kuasa yang dijangka paling awal adalah pada Ogos 2025, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

Sapura Energy juga berkata, tuntutan pemiutang yang lain akan diselesaikan dengan dana yang diperoleh daripada pelaburan oleh pihak atau syarikat luar yang menawarkan bantuan kewangan setelah pelan penyusunan semula berkuat kuasa.

 

Penstrukturan semula kewangan itu melibatkan hutang berjumlah RM10.8 bilion oleh Sapura Energy yang melibatkan pelbagai mata wang serta RM1.5 bilion dalam pembayaran kepada pemiutang perdagangan yang tertunggak.

 

Perbincangan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Penstrukturan Hutang Korporat memainkan peranan penting dalam mencapai persetujuan antara Sapura Energy dan pihak pembiayanya. 

 

Kelulusan awal daripada institusi kewangan pada Disember 2023 dan Januari 2025 membuka jalan untuk mesyuarat yang diadakan di mahkamah. - DagangNews.com