Pemegang saham Tex Cycle lulus usul pengambilalihan Meridian World pada harga RM55 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Tex Cycle lulus usul pengambilalihan Meridian World pada harga RM55 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 Mei –  Pemegang saham Tex Cycle Technology (M) Bhd sebulat suara meluluskan usul pengambilalihan Meridian World Sdn Bhd dengan harga RM55 juta semasa Meysuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu.

 

Langkah yang dijangka memperkukuh portfolio berteraskan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) syarikat.

 

Pengambilalihan itu akan membolehkan Tex Cycle meluaskan perkhidmatan kepada rawatan air sisa, pemprosesan kimia, dan perundingan alam sekitar, selari dengan strategi pertumbuhan ESG syarikat.

 

Meridian World beroperasi di Kedah memiliki kemudahan pemulihan sisa berjadual berlesen penuh dan perkhidmatan kepada industri semikonduktor, kimia serta pembuatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Gary Dass Anthony Francis berkata, kelulusan pengambilalihan Meridian membolehkan syarikat mempercepat pelaksanaan pelan ESG dan meluaskan perkhidmatan di seluruh Malaysia.

 

Tex Cycle kekal optimis terhadap hala tuju masa depan, disokong oleh penguatkuasaan kerajaan terhadap pematuhan sisa berjadual dan dorongan kepada penggunaan tenaga boleh baharu.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mencatatkan penurunan untung bersih kepada RM2.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM6.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Penurunan itu disebabkan ketiadaan keuntungan luar biasa daripada pelupusan hartanah pelaburan yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasil syarikat meningkat 11% kepada RM8.9 juta daripada RM7.99 juta, disokong sumbangan lebih tinggi daripada segmen tenaga boleh baharu.- DagangNews.com