KUALA LUMPUR 14 Feb - E.A. Technique (M) Bhd atau EATech, sebuah syarikat pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia memperoleh kelulusan pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk dijenamakan semula sebagai Avangaad Bhd.
Sejajar dengan penjenamaan semulanya, kumpulan itu melaporkan pertumbuhan pendapatan suku ke-10 berturut-turut pada 4QFY24 berakhir 31 Disember 2024 sebagai bukti prestasi mampan dan kemampanan jangka panjangnya.
Transformasi ini mencerminkan motif kukuh kumpulan bagi memacu kemajuan dan berkembang melalui inovasi, daya tahan dan kemampanan.
Pencapaian ini berfungsi sebagai pemangkin untuk memulakan lembaran baharu dalam evolusi korporatnya. Nama Avangaad adalah gabungan "Avante" yang bermaksud bergerak ke hadapan dan "Vanguard" yang mencerminkan keupayaan kumpulan sebagai barisan hadapan dalam inovasi maritim.
Pengarah Eksekutif, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, penjenamaan semula ini bukan sekadar kemas kini imej tetapi menandakan salah satu transformasi strategik.
"Ini adalah pencapaian penting dalam cita-cita kami untuk menjadi penyedia rumusan marin dan luar pesisir yang berfikiran ke hadapan.
“Kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh, kemenangan kontrak strategik dan kecemerlangan operasi, yang semuanya meletakkan kami untuk mengemudi sempadan baharu yang mampu mencipta nilai yang berkekalan,” katanya.
Bagi 4QFY24, EATech mencatatkan keuntungan bersih RM25.17 juta atau hampir lapan kali ganda meningkat daripada RM3.3 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Prestasi kukuh ini disumbangkan oleh pengurusan kos yang berdisiplin, kecekapan operasi yang lebih baik dan pembangunan dan pengembangan perniagaan yang strategik.
EATech mencatatkan keuntungan bersih RM154.3 juta atau meningkat lebih enam kali ganda daripada RM23.7 juta pada FY23 didorong oleh pendapatan sekali sahaja yang berkaitan dengan skim pemiutang dan pelan penyelarasan Nota Amalan 17 (PN17).
Pendapatan teras kumpulan kekal kukuh pada RM25.2 juta, didorong oleh kadar penggunaan armada yang tinggi dan kemenangan kontrak baharu.
Keuntungan yang teguh dan daya tahan aliran tunainya terus membina momentum, disokong oleh buku pesanan kukuh sebanyak RM181.3 juta bersama-sama dengan kontrak pilihan tambahan bernilai RM227.1 juta yang mencerminkan aliran hasil yang stabil untuk tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com








