Pembinaan pusat beli-belah Sunway Mall Ipoh capai kemajuan 40%, dijangka siap penghujung 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan pusat beli-belah Sunway Mall Ipoh capai kemajuan 40%, dijangka siap penghujung 2027

Gambaran grafik pusat beli-belah Sunway Mall Ipoh yang bakal menjadi satu lagi tarikan ke Tambun.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 16 Mac - Projek pembinaan pusat beli-belah Sunway Mall Ipoh kini mencapai kemajuan 40% dan menepati jangkaan untuk siap menjelang penghujung tahun hadapan.

 

Pusat beli-belah terbesar di Perak itu yang terletak bersebelahan taman tema Lost World of Tambun melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion.

 

Menurut Pengurus Kanan Pengurusan Projek, Lau Jia Jian, Sunway Mall Ipoh mempunyai kelulusan lebih 1 juta kaki persegi menempatkan pelbagai ruang niaga.

 

Ia mempunyai 4 tingkat ruang runcit serta direka bentuk bagi menyesuaikan diri dengan landskap semula jadi Tambun selain mempunyai 2,800 tempat letak kereta.

 

Perak
Projek pembinaan Sunway Mall Ipoh kini mencapai kemajuan 40%.

 

Perak

 

“Antara tarikan yang ada nanti seperti gelanggang luncur ais iaitu yang pertama di Perak, pusat pameran, pusat boling 36 lorong dan kemudahan sukan pelbagai guna.

 

“Turut dibina adalah taman gourmet serta 8 buah pawagam dengan kapasiti tempat duduk kira-kira 1,500 orang.

 

“Bagaimana pun, perincian mengenai premis runcit lain akan diumumkan pada peringkat seterusnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Sunway Hotel Lost World of Tambun di sini malam tadi.

 

Mengulas lanjut kata Jia Jian, beberapa pengumuman penting mengenai kemajuan projek Sunway Mall Ipoh dijangka dibuat oleh pihak pengurusan pada penghujung tahun ini.

 

Perak
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dato' Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall pada Ogos 2024. 

 

Perak

 

Ia termasuk mengenai rakan niaga runcit utama serta penyewa lain yang berpotensi.

 

Tambah beliau, pembangunan Sunway Mall Ipoh akan menjadi sebahagian daripada ekosistem bersepadu lebih besar yang menghubungkan pusat beli-belah dengan Lost World of Tambun, Sunway Medical Centre serta sebuah hotel yang dirancang dibina di atas pusat beli-belah itu.

 

“Terdapat juga sambungan terus ke pembangunan sekitar termasuk hubungan ke Lost World of Tambun dan Sunway Medical Centre apabila siap kelak.

 

“Kami sedang memuktamadkan beberapa aspek projek bagi memastikan keseluruhan ekosistem dapat berfungsi dengan baik, termasuk aliran pengunjung dan kemudahan tempat letak kereta,” ujarnya. - DagangNews.com