Pembinaan Hospital Thomson Iskandariah ubah landskap penjagaan kesihatan Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan Hospital Thomson Iskandariah ubah landskap penjagaan kesihatan Asia Tenggara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mac - TMC Life Sciences Berhad (TMCLS) akan membina Hospital Thomson Iskandariah di Johor Bahru, yang dijangka mengubah landskap penjagaan kesihatan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mengukuhkan status JS-SEZ sebagai hab perubatan di Asia Tenggara.

 

Menawarkan perkhidmatan untuk pesakit tempatan dan antarabangsa, hospital tersebut turut menyediakan pelbagai kepakaran.

 

Hospital Thomson Iskandariah yang dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 1.5 hektar di pusat bandar Johor Bahru, merupakan sebahagian daripada kawasan seluas 9.23 hektar yang dikawal oleh Thomson Medical Group.

 

Hospital itu dijangka beroperasi dalam fasa pertama pada awal tahun 2026 dan bakal dibuka seiring dengan pengoperasian Sistem Transit Pantas (RTS) yang dijangka siap pada 2027. 

 

Kemudahan berkenaan akan dilengkapi dengan teknologi perubatan terkini dan menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan canggih termasuk untuk rawatan kanser, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, kesuburan serta pembedahan am.

 

Lokasinya di selatan negara juga membolehkan ia menjadi pilihan pesakit dari Singapura, Batam dan Kepulauan Riau di Indonesia untuk mendapatkan rawatan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Thomson Medical Group, Kiat Lim berkata, pembinaan Hospital Thomson Iskandariah penting bagi sektor kesihatan di Asia Tenggara.

 

"Dengan kemudahan bertaraf dunia dan lokasi strategik dalam JS-SEZ, kami bersedia memperkukuhkan rancangan pembangunan bagi kawasan SEZ dan mempertingkatkan daya saingnya dalam menarik pelaburan global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Medical Group, Dr. Melvin Heng Jun Li pula berkata, visi Hospital Thomson Iskandariah adalah untuk mewujudkan ekosistem kesihatan lengkap yang bukan sahaja merawat, tetapi juga mendidik pesakit.

 

"Dengan menyepadukan teknologi canggih dan memupuk kerjasama dengan pakar-pakar terkemuka, kami menetapkan penanda aras baharu dalam penjagaan pesakit," jelasnya.

 

TMCLS baru-baru ini melantik Datuk Dr. Adzuan Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Kanan Wilayah Thomson Medical Group. 

 

Pelantikan itu akan memperkuat kepimpinan di Thomson Medical Group yang diketuai oleh Dr Heng, untuk mempercepatkan rancangan Hospital Thomson Iskandariah dan memanfaatkan perkembangan positif JS-SEZ.

 

Di samping itu, TMCLS merancang untuk bekerjasama dengan Thomson Medical Group, agensi kerajaan, dan rakan kongsi antarabangsa untuk mengembangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan rentas sempadan di Johor, Batam, dan Singapura. - DagangNews.com