Keupayaan pertahanan maritim negara melonjak ke tahap lebih tinggi susulan keputusan kerajaan memperkukuh sistem persenjataan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Langkah strategik ini dizahirkan menerusi beberapa perolehan penting yang dimeterai pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026).
DSA 2026 berakhir hari ini setelah berlangsung selama 4 hari sejak Isnin depan penyertaan lebih 1,400 syarikat pertahanan dalam dan luar negara.
Perolehan sistem peluru berpandu moden yang merangkumi keupayaan serangan dan pertahanan udara kapal ini bertepatan dengan apa yang dijangkakan pemerhati pertahanan tempatan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memeterai kontrak bagi pembekalan 48 unit peluru berpandu K-SAAM dengan LIG Defence bernilai kira-kira RM374.67 juta.
Selain itu, sebanyak 24 unit peluru berpandu antikapal ATMACA keluaran Roketsan turut diperoleh dengan nilai RM369.2 juta.
Gabungan kedua-dua sistem ini memberi kelebihan strategik kepada TLDM dalam menghadapi ancaman permukaan dan udara secara serentak.
Peluru berpandu K-SAAM merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat sehingga 20km bagi melindungi kapal daripada ancaman pesawat dan peluru berpandu musuh.


Manakala ATMACA dengan jarak ke sasaran sejauh 250km pula merupakan peluru berpandu anti kapal yang mampu menyerang sasaran permukaan dengan ketepatan tinggi.
Kedua-dua sistem ini akan dipasang pada tiga buah kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang sedang dibina di Turkiye.
Kapal pertama dijangka dilancarkan seawal Jun ini, menandakan kemajuan signifikan dalam program pemodenan TLDM.
Perolehan ini secara langsung meningkatkan keupayaan tempur kapal LMS yang sebelum ini lebih terhad kepada peranan rondaan dan penguatkuasaan.
Dengan integrasi sistem peluru berpandu, kapal LMS Batch 2 kini berupaya berfungsi sebagai platform tempur yang lebih kredibel.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengeluarkan surat niat (LOI) kepada MBDA bagi perolehan 29 unit peluru berpandu VL MICA untuk kapal tempur pesisir (LCS).
Walaupun kos belum dimuktamadkan, langkah ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pertahanan udara armada TLDM.
Secara keseluruhan, sebanyak 12 kontrak, empat LOI dan lapan program kerjasama industri (ICP) dimeterai pada DSA 2026 dengan nilai keseluruhan RM3.542 bilion.
Pelaburan besar ini mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan maritim dalam suasana geopolitik serantau yang semakin mencabar.



Dari sudut strategik, pemilikan peluru berpandu anti kapal seperti ATMACA meningkatkan keupayaan cegah rintang (deterrence) negara.
Ia memberi isyarat jelas bahawa Malaysia mampu mempertahankan perairannya daripada sebarang ancaman luar.
Pada masa sama, sistem pertahanan udara seperti K-SAAM dan VL MICA meningkatkan tahap kelangsungan operasi kapal dalam persekitaran peperangan moden.
Ini kerana ancaman masa kini bukan sahaja datang dari permukaan, tetapi juga dari udara dan peluru berpandu berkelajuan tinggi.
Langkah ini juga sejajar dengan konsep peperangan rangkaian (network-centric warfare) yang menuntut integrasi sistem persenjataan canggih.



Selain perolehan aset, aspek pemindahan teknologi turut diberi perhatian menerusi ICP melibatkan beberapa syarikat tempatan terpilih yang mempunyai keupayaan.
Beberapa limbungan tempatan seperti Lumut Naval Shipyard, BHIC Submarine dan Labuan Shipyard terlibat dalam usaha ini.
Menerusi ICP, tenaga kerja tempatan akan dihantar ke limbungan di Istanbul untuk latihan pembinaan dan penyelenggaraan kapal.
Fokus ICP turut beralih daripada sekadar menjalankan penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) kepada pembuatan bernilai tinggi serta inovasi teknologi.

Inisiatif ini penting bagi memastikan kebergantungan kepada kepakaran luar dapat dikurangkan dalam jangka panjang.
Ia juga membantu membangunkan ekosistem industri pertahanan tempatan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Dalam konteks keseluruhan, perolehan sistem peluru berpandu ini bukan sekadar penambahan aset, tetapi lonjakan keupayaan tempur TLDM.
Ia mengubah landskap operasi maritim negara daripada bersifat defensif kepada lebih berdaya tahan. - DagangNews.com








